Sejarah: Ustaz Halim Arshat dilantik Setiausaha Agung PAS

HARAKAHDAILY | .

USTAZ ABDUL HALIM ARSHAT DILANTIK SETIAUSAHA AGUNG PAS (12 APRIL 1989)

PADA hari ini dalam tahun 1989, bekas pemimpin mahasiswa yang juga bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Abdul Halim bin Arshat telah dilantik oleh Yang Dipertua Agung PAS yang baru, Ustaz Fadzil Mohd Noor sebagai Setiausaha Agung PAS.

Beliau menggantikan Ustaz Hassan Shukri yang dipilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS setelah menjadi Setiausaha Agung PAS selama 12 tahun (1975-1979 dan 1982-1989).

Sebelum menjadi Setiausaha Agung PAS, Ustaz Abdul Halim adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Setar (1981-1989), Setiausaha Perhubungan PAS Kedah (1979-1987), Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS (1983-1987) dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1987-1989).

Ustaz Abdul Halim yang dilahirkan di Kampung Nongka, mukim Hosba, Jitra, Kedah pada 18 Disember 1942 telah mendapat pendidikan di Maahad Muhammadi, Kota Bharu dan Madrasah ad-Diiniyah al-Bakriah, Pasir Tumbuh, sebelum memasuki Kolej Islam Malaya dan akhirnya ke Fakulti Pengajian Islam UKM pada 1970.

Nama beliau mulai terkenal setelah dilantik sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa UKM (1972-1974), di mana pada zamannya berlaku demonstrasi pelajar yang terkenal seperti isu bahasa (1971), AUKU (1971), Baling (1974) dan rampasan kuasa UM (1974).

Dalam Pilihan Raya Umum 1974, nama Ustaz Abdul Halim disebut-sebut akan menentang Menteri Pelajaran, Dr Mahathir Mohamed di Kubang Pasu.

Setelah keluar UKM pada 1974, beliau dilantik sebagai Timbalan Presiden PKPIM, Ahli Jawatankuasa Pusat ABIM dan Ahli Jawatankuasa Pusat Majlis Belia Malaysia (MBM) sehingga 1978.

Setelah itu, beliau mulai aktif dalam PAS yang disertainya sejak 1973 dengan menjadi calon PAS dalam Pilihan Raya Umum 1978 di Parlimen Kubang Pasu.

Beliau turut bertanding di kerusi Parlimen Kota Setar (1982 dan 1986), Jerlun-Langkawi (1990) dan Jerlun (1995), selain menjadi calon PAS dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Padang Terap (1985) dan DUN Jerlun (1991).

Beliau juga pernah ditahan di bawah ISA sebanyak dua kali iaitu dalam isu padi (1980) dan Operasi Lalang (1987).

Dengan pengalaman politik dan perjuangan yang begitu luas, pada 12 April 1989, beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS. Sebelum beliau, tokoh-tokoh yang pernah menjadi Setiausaha Agung PAS ialah Ustaz Ahmad Maliki (1951-1953), Cikgu Ahmad Awang (1953-1954), Ustaz Mohd Asri Haji Muda (pemangku 1954), Ustaz Abdul Rahman Mahadi (pemangku 1954-1955), Ustaz Mohamad Hashim (pemangku 1955-1956), Ustaz Zabidi Ali (1956), Ustaz Othman Abdullah (1956-1959), Haji Hashim Abdullah al-Baghdadi (1959-1961), Ustaz Abdullah Zawawi Hamzah (1961-1969), Ustaz Baharuddin Abdul Latif (1969-1971), Ustaz Abu Bakar Hamzah (1971-1975), Ustaz Hassan Shukri (1975-1979 dan 1982-1989), Ustaz Nakhaie Ahmad (1979-1981) dan Dato' Abu Bakar Umar (1981-1982).

Akibat diserang oleh angin ahmar pada pertengahan 1998, Ustaz Abdul Halim telah berundur dari kepemimpinan PAS, dan jawatannya dipangku oleh Datuk Hishamuddin Yahya (1998-1999) sebelum diambil alih oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa (1999-2005).

Kini perjuangan Ustaz Abdul Halim diteruskan oleh dua anak beliau, Ustaz Najhan Shahir (Pengarah Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat dan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Selangor) dan Ustaz Syarhan Humaizi (Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat dan Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor).

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
12 April 2016 - HARAKAHDAILY 12/4/2016

Share on Myspace