Langkah FGV batal urus niaga RM976 juta adalah tepat

HARAKAHDAILY | .

Keputusan terbaru ini dilihat satu langkah yang betul apabila pihak pengurusan yang baharu membatalkan rancangan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) untuk membeli pegangan 55 peratus dalam Zhong Ling Nutri - Oil Holdings Ltd bernilai RM976.25 juta.

Kami menyambut baik keputusan untuk menamatkan perjanjian pembelian saham ini. Sebelum ini bekas CEO KPF, Datuk Sarchu Sawal telah memberi pandangan mengenai urus niaga ini dan risiko kerugian bakal dihadapi FGV jika hasrat ini diteruskan buat masa ini berdasarkan iklim ekonomi semasa. Beliau juga Pengarah Jabatan Hal Ehwal Felda PAS.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang baharu dilantik awal bulan ini, Datuk Zakaria Arshad memaklumkan pembatalan ini kepada media pada 8 April lalu dan dilaporkan oleh Bernama.

Kami bersetuju jika urus niaga ini dibuat dengan bersandarkan laporan pakar dan melalui proses ketelusan yang tinggi bagi memberi jaminan kepentingan pelabur dan peneroka Felda secara tidak langsung.

Pada 26 Feb, FGV melalui anak syarikatnya, Felda Global Ventures Downstream Sdn Bhd, mencadangkan untuk membeli 81.57 juta saham biasa dalam Zhong Ling dan vendor lain bernilai RM976.25 juta. Cadangan pembelian itu dijangka selesai menjelang suku pertama tahun ini.

Kami juga mahu FGV menumpukan pelaburan teras dan mengurangkan pelaburan di luar negara. Tumpuan harus diberikan kepada dalam negara sendiri agar manfaat langsung dapat dirasai oleh rakyat sendiri.

FGV juga perlu memberi penjelasan dakwaan kerugian operasi di sektor perladangan yang mencatatkan kerugian dalam tahun 2015. Laporan keuntungan RM117 juta itu adalah sumbangan daripada MSM (gula) dan perniagaan bukan teras lain.

Langkah berwaspada dan berhati-hati perlu diamalkan oleh FGV yang telah mencatatkan kejatuhan harga saham FGV di BSKL tidak terus menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat.

Unjuran harga semasa saham FGV yang tidak melepasi separuh harga IPO RM4.55 bagi saham korporat cukup memberi kesan negatif kepada negara dan pelabur. Dengan harga semasa minggu ini sekitar RM1.50 sesaham apakah boleh kita katakan kedudukan ini baik?

NARAZA MUDA
Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS
12 April 2016 - HARAKAHDAILY 12/4/2016

Share on Myspace