Generasi sambut baik Selangor bina rumah PGBF

HARAKAHDAILY | .

KENYATAAN Datuk Iskandar Abdul Samad selaku Exco Kerajaan Selangor bahawa kerajaan negeri komited membina Rumah Generasi Kedua Felda (PGBF) disambut baik.

Niat murni kerajaan negeri ini membuka satu wadah baharu dan harapan kepada anak anak Felda di Sg Tengi bagi memiliki rumah tatkala projek PGBF di bawah kerajaan Pusat khasnya Felda tidak kunjung selesai.

Sikap terbuka dan komitmen kerajaan Selangor ini memberi gambaran bahawa jika ada komitmen yang tinggi, maka isu isu hak perumahan rakyat boleh sahaja diselesaikan dengan baik.

Malah bagi NGO Generasi kami melihat apa yang dilakukan kerajaan Selangor ini sangat membanggakan malah mengatasi apa yang dilakukan kerajaan pusat yang terlalu banyak bermain dengan janji tetapi tidak ditepati.

Dalam satu kenyataan Iskandar pada 12 April menyatakan Kerajaan Negeri Selangor komited membina rumah untuk generasi kedua Felda kerana akan membina 136 buah rumah berkembar (semi detached) di Sg Tengi Selatan, Hulu Selangor untuk mereka.

Tender untuk projek ini telah dibuka dan akan ditutup pada 18 April 2016.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) adalah pengurus projek bagi pihak kerajaan Negeri.

Kos projek ini adalah dianggarkan RM20 juta. Kos infrastruktur akan ditanggung oleh kerajaan negeriagar rumah-rumah ini mampu dibeli oleh generasi kedua itu. Jangkaan harga jualan adalah sekitar RM100,000 sebuah.

Bagi NGO Generasi komitmen Kerajaan Selangor itu dibuktikan dengan  kesungguhan di mana Iskandar telah mengadakan lawatan tapak pada 23 Mac yang lalu bersama-sama PKNS dan penduduk Kg Sg Tengi Selatan.

Turut bersama adalah Pengerusi NGO Generasi Selangor, Hasnizan Harun dan Muhammad Idris, Penyelaras Kawasan Dewan Negeri Hulu Bernam.

Kami juga mengharapkan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri lain mengikut jejak langkah Kerajaan Selangor ini.

USTAZ ROSLAN MD ESA
Presiden NGO Generasi
12 April 2016 - HARAKAHDAILY 12/4/2016

Share on Myspace