Felda disaran membetulkan urus niaga dengan syarak

HARAKAHDAILY | .

FELDA perlu membetulkan beberapa aspek pengurusannya agar menepati hukum syarak. Sebagai sebuah agensi yang hampir sepenuhnya diuruskan oleh orang Islam, maka Felda wajar mengkaji seluruh sistem agar selaras dengan kehendak syarak sama ada dalam urusan dengan peneroka,  pembelian sawit mahupun pengurusan.

1. Isu hutang

Peneroka adalah konsumer dan pembekal utama bagi Felda. Kejayaan Felda mengangkat martabat ekonomi rakyat boleh dibanggakan oleh semua pihak. Kejayaan mewujudkan perkampungan tersusun dari aspek penempatan dan peluang ekonomi khasnya generasi pertama hampir selesai.

Namun terdapat isu utama yang tidak menepati tuntutan syarak yang memerlukan langkah segera diambil.

Pertama, peneroka yang tanam semula dengan Felda berhadapan dengan  masalah jumlah hutang yang tidak diketahui.

Walaupun hasil mereka dipotong setiap bulan namun pihak Felda gagal menjelaskan berapa sebenarnya jumlah hutang yang perlu ditanggung oleh peneroka. Peneroka hanya akur ada hutang dan hasil mereka dipotong bagi membayar hutang tersebut.

Dari sudut syarak, pemiutang berhak mengetahui jumlah hutang mereka. Ia adalah salah bila mana Felda gagal menjelaskan jumlah hutang dan baki hutang peneroka.

Akibatnya ramai waris peneroka yang terkejut bila mana berlaku kematian, baharulah mereka dimaklum ada hutang yang masih berbaki.

Sebagai langkah pembetulan, pihak Felda wajib memaklumkan jumlah hutang yang ditanggung oleh peneroka dan bentuk hutang tersebut. Malah, penyata tahunan perlu dihantar kepada peneroka atau satu mekanisma baru perlu diwujudkan bagi mempermudahkan peneroka menyemak baki hutang mereka.

2. Ansuran ladang

Setiap peneroka dipotong hasil mereka bagi membiayai ansuran ladang. Sebagaimana hutang, mereka juga tidak dimaklumkan apakah bentuk perlindungan yang diberikan kepada ladang mereka dan khidmat agensi ansuran yang mana digunakan Felda.

Sehingga kini, banyak peneroka masih gagal mendapat pampasan bagi ladang yang musnah dari syarikat ansuran kerana tiada mekanisma yang jelas.

Sebagai langkah pembetulan, agensi ansuran atau pihak Felda mesti memaklumkan kepada peneroka bentuk perlindungan yang dihakkan kepada ladang mereka dan mekanisma tuntutan sekiranya berlaku kemusnahan ladang mereka.

3. Kaedah pembelian sawit

Felda membayar kepada peneroka berdasarkan kadar perahan minyak sawit dari buah sawit. Manakala hasil minyak dari isi rong sawit, minyak kotor dan lain-lain tidak dibayar kepada peneroka.

Pembayaran lebihan tan sawit pada setiap hujung tahun bukanlah berdasarkan harga isi rong atau minyak kotor yang dijual. Ketidakadilan berlaku apabila ada di kalangan peneroka yang tidak mendapat sebarang bayaran kerana tidak mencapai sasaran jumlah tan sawit sedangkan hasil isi rong sawit mereka juga mempunyai nilai yang agak tinggi.

Bagi menyelesaikan masalah ini agar urus niaga Felda menepati kehendak syarak, Felda seharusnya membeli buah sawit berdasarkan jumlah tan sawit yang dihantar ke kilang, bukan berdasarkan kadar perahan minyak.

Jika ia terus berdasarkan kadar perahan, Felda mesti membayar semua hasil milik peneroka kerana dari sudut syarak kerana ia masih menjadi hak peneroka.

Manakala dengan menggunakan kaedah pembelian buah sawit, dari sudut syarak, semua buah sawit tersebut akan menjadi hak Felda.

Menggunakan kaedah ini, Felda cuma perlu menentukan satu mekanisma penetapan harga buah sawit yang dijual ke kilang Felda. Insya-Allah, dengan cara ini segala urusniaga Felda akan menepati kehendak syarak dan tidak berlaku unsur gharar dalam muamalah tersebut.

PAS penuh yakin terdapat kaedah yang mampu dilaksanakan oleh pihak pengurusan Felda demi mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
13 April 2016 – HARAKAHDAILY 13/4/2016

Share on Myspace