Sejarah: PAS hantar wakil kaji kembang sayap ke Sabah

HARAKAHDAILY | .

PADA hari ini dalam tahun 1986, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju untuk menghantar wakil bagi membuat kajian untuk PAS mengembangkan sayapnya ke Sabah.

Terdahulu PAS telah menerima laporan tentang perkembangan proses penubuhan PAS Sabah, telah bersetuju menghantar Ustaz Nakhaie Ahmad (Naib Yang Dipertua Agung PAS), Cikgu Mustafa Ali (Ketua Dewan Pemuda PAS) dan Ustaz Hassan Shukri (Setiausaha Agung PAS) untuk membincangkan proses penubuhan PAS di Negeri Bawah Bayu itu.

Tindakan PAS untuk membuka semula sayapnya ke Sabah ini adalah berkait rapat dengan perubahan politik Sabah setelah kekalahan parti Berjaya ke tangan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada 21 April 1985.

PAS bimbang dengan peranan Datuk Joseph Pairin Kitingan, seorang tokoh Kristian yang menjadi Ketua Menteri Sabah untuk menggerakkan kristianisasi di negeri itu.

Sebelum ini, Sabah terkenal dengan gerakan dakwah Islam yang digerakkan oleh Pertubuhan Dakwah Seluruh Sabah (USIA) pimpinan Tun Satu Mustapha Datu Harun yang juga pemimpin USNO.

Pada tahun 1970-an, PAS membentuk kerjasama dengan USNO atas dasar sokongan terhadap gerakan dakwah USIA. Tetapi, setelah kejatuhan Datu Mustapha pada 1976, Sabah diperintah oleh serpihan USNO, Berjaya yang dipimpin Datuk Harris Salleh sehingga 1985.

Sebenarnya, sejarah PAS di Sabah telah bermula semenjak tercetusnya cadangan penubuhan Malaysia pada 1961, dan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-10 pada awal 1962 telah menerima cadangan pengembangan PAS di Sabah.

Setelah Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, penyokong-penyokong PAS di Sabah telah menubuhkan Persatuan Islam Seluruh Sabah (PAS) sejak Ogos 1963 sebagai badan gabungan PAS dan dilancarkan pada 10 November 1964 dengan dipimpin oleh Syed Omar as-Saqqaf. Tetapi pergerakan PAS Sabah telah lumpuh oleh faktor Konfrantasi Indonesia dan juga tuntutan Macapagal ke atas Sabah, serta faktor penubuhan USIA pada 16 Ogos 1969.

Sikap PAS sendiri terhadap Sabah lebih bergantung kepada peranan dakwah yang dilakukan oleh USIA, diikuti oleh kerjasama PAS-USNO dalam BN sejak 1974.

Kekalahan parti Berjaya di tangan PBS pada 21 April 1985 telah menyebabkan PAS pada 28 April 1985 melihat perkembangan ini sebagai ancaman kepada Islam dan pada 25 Mei 1985, PAS bersetuju untuk berkembang di Sabah.

PAS menghantar Ahli Jawatankuasa Kerja Agungnya, Haji Sattar Taha untuk menyusun penubuhan PAS Sabah dalam bulan Ogos 1985, diikuti oleh pengumuman PAS pada September 1985 bahawa ia akan membuka sayap ke Sabah dan Sarawak.

Dalam pertemuan pimpinan PAS dengan Dr Mahathir Mohamed pada 10 April 1986, Perdana Menteri itu melahirkan kebimbangan terhadap perkembangan kristianisasi dan memberi laluan PAS masuk ke Sabah.

Setelah langkah-langkah ke arah penubuhan PAS Sabah diambil, pada 13 April 1986, PAS telah bersetuju untuk menghantar wakil ke Sabah untuk menyusun penubuhan PAS Sabah secara serius dan akhirnya pada 19 Mei 1986, PAS berjaya dilancarkan oleh Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Rawa.

Pada 14 Jun 1986, PAS telah melantik Haji Hamzah Abdullah sebagai Pesuruhjaya PAS Sabah yang pertama.

Setelah 30 tahun berkembang, PAS Sabah telah dipimpin oleh beberapa orang Pesuruhjaya PAS iaitu Haji Hamzah Abdullah (1986-1989), Haji Mohamad Abdullah (1989-2001 dan 2004-2011), Dr Datu Bandira Datu Alang (2001-2004) dan kini dipimpin oleh Haji Aminuddin Aling sejak 2011.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
13 April 2016 - HARAKAHDAILY 13/4/2016

Share on Myspace