Sungai Golok cetek, jalan kaki ke sempadan Thailand

SALMAH MAT HUSAIN | .

RANTAU PANJANG: Bot dan perahu yang menyediakan perkhidmatan membawa penumpang menyeberangi Sungai Golok ke negara jiran kini tidak lagi dapat beroperasi.

Paras Sungai Golok cetek dan timbul pasir di tengah sungai membolehkan orang ramai hanya berjalan kaki ke Thailand.

Anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof berkata paras air semakin surut membolehkan orang ramai berjalan kaki ke sempadan Siam.

Katanya keadaan yang sama juga berlaku di Empangan Bukit Kwong, di mana airnya semakin cetek.

“Budak-budak mengambil kesempatan untuk mandi di empangan itu kerana airnya tohor. Ramai keluarga berkelah di Sungai Golok sekarang kerana pasir timbul seperti di tepi pantai,” katanya di sini.

Kesan El Nino sekarang boleh dirasai di seluruh Kelantan apabila sungai-sungai utama semakin surut. Malah Sungai Lebir di Manek Urai yang terjejas teruk akibat bah besar akhir 2014 juga surut.

Di Kota Bharu kelmarin suhu dicatat sehingga 35 darjah Celsius. Bahang matahari begitu terasa ketika menjelang Zohor. Kali terakhir hujan di sini hampir dua minggu lepas.

Siti Zailah juga berkata kadang-kadang di Rantau Panjang suhu dicatat sehingga 38 darjah Celcius, yang dianggap boleh memberi kesan terhadap kesihatan.

“Saya nasihatkan ibu bapa mengawasi anak-anak. Kalau anak-anak hendak keluar rumah untuk beriadah semolek-moleknya selepas solat Asar,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 13/4/2016

Share on Myspace