El Nino: Kelantan anjur munajat rakyat

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Mengambil kira kesan fenomena El Nino sekarang, kerajaan negeri akan menganjurkan Munajat Rakyat Kelantan awal pagi 22 April ini.

Munajat itu akan bermula jam 4 pagi diadakan di padang hoki Kota Bharu (bersebelahan Padang Perdana). Program tersebut dijangka diketuai Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Muhamad.

Manakala solat sunat Istisqa pula akan diadakan jam 7.30 pagi akan diimamkan Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Pengarah Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK) Tuan Sharifuddin Tuan Ismail (Kanan) berkata pihaknya menjemput semua agensi kerajaan hadir pada program berkenaan.

“Kita hendaklah sama-sama memohon ke hadrat Allah SWT supaya fenomena El Nino yang berlaku sekarang berakhir kerana ia mendatang kesan kepada kehidupan manusia.

“Bukan sahaja manusia yang terkesan, malah haiwan dan tumbuh-tumbuhan juga terjejas sehingga boleh mendatangkan kesan kepada pengeluaran makanan,” katanya di sini.

Menurutnya juga kerajaan negeri menggalakkan rakyat Kelantan berpuasa sunat pada Khamis (21 April), lebih-lebih lagi sempena Rejab sekarang.

Oleh itu beliau menjemput semua rakyat Kelantan menghadiri program terbabit dengan membawa sejadah, untuk sama-sama bermunajat dan menunaikan solat Istisqa. – HARAKAHDAILY 13/4/2016

Share on Myspace