Belia Perak harus miliki rumah pada usia muda

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Perak merafak syukur menjunjung kasih di atas titah diraja Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al Maghfurlah dalam perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan ketiga belas.

Dewan Pemuda PAS Perak menyokong titah baginda terutamanya pada perkara-perkara yang melibatkan orang muda dan belia. Antara perkara yang perlu dipandang serius ialah berkenaan kos perumahan.

Kenaikan harga rumah yang meningkat 109.6% di antara tahun 2000 hingga 2014 sangat tidak selari dengan kenaikan gaji yang hanya pada kadar 2.6% setahun. Malahan lebih parah apabila 72.8% pendapatan isi rumah pada tahun 2014 di bawah pendapatan RM5,000.

Peningkatan kos sara hidup, pelaksanaan GST, pinjaman pendidikan, kadar kenaikan gaji yang rendah dan cabaran pengangguran, cukup menghantui golongan belia terutamanya lepasan pengajian yang berhasrat memiliki rumah pertama mampu milik bukan sekadar mampu lihat.

Dewan Pemuda PAS Perak menghargai hasrat menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Perak (LPHP) bagi menyelesaikan permasalahan ini.

Namun begitu, apa yang dibimbangi ialah bagaimana perlaksanaan dan tindakan proaktif LPHP nanti.

Dalam masa yang sama, isu prosedur juga perlu diberi penekanan.

Ini melibatkan kaedah permohonan, kelulusan pinjaman bank dan melunaskan deposit terutamanya bagi belia bergaji di bawah RM2,000 yang semakin malap hasrat memiliki rumah mampu milik.

Dewan Pemuda PAS Perak mengharapkan pihak kerajaan negeri bergerak dengan lebih efektif dan efisyen seiring desakan hidup belia yang perlu diselesaikan segera terutamanya yang melibatkan pendapatan isi rumah dan kemampuan memiliki rumah pada usia muda.

MOHD AKMAL KAMARUDDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Perak
5 Rejab 1437 / 13 April 2016 - HARAKAHDAILY 13/4/2016

Share on Myspace