Agensi Penyelamat Malaysia iktiraf Jabatan Amal Malaysia

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Jabatan Amal Malaysia terus mendapat pengiktirafan daripada Agensi Penyelamat Malaysia setelah mendapat jemputan buat pertama kali bagi menyertai Konvensyen Pasukan Mencari dan Menyelamat di Air Malaysia.

Jabatan Amal yang diwakili oleh Pengarah Kor Medik dan Penyelamat Tuan Firdauz Nasir sekali gus mengetuai delegasi Jabatan Amal Malaysia ke Konvensyen tersebut yang berlangsung hari ini.

Bertempat di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai Terengganu, konvensyen tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia YAS Datuk Wira Wan Mohd Nor Ibrahim.

Turut sama di dalam konvensyen tersebut adalah agensi penyelamat lain seperti tentera laut dan darat serta dari agensi penyelamat Kebakaran Negara Indonesia.

Jabatan Amal Malaysia berharap hubungan baik ini dapat dieratkan dan diteruskan dalam melengkapkan hubungan gerak kerja penyelamat yang baik di kalangan agensi yang ada di negara ini walaupun mereka lahir dari sebuah parti politik tanah air.

"Terima kasih kepada Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia yang sudi menjemput kami bersama dalam berkongsi ilmu serta pengalaman dan sudah ia menjadi titik tolak menjadikan badan ini lebih profesional dalam gerak kerja seterusnya," demikian menurut Jabatan Amal Malaysia sebagaimana dipetik di laman rasmi Facebook mereka. – HARAKAHDAILY 13/4/2016

Share on Myspace