Kelantan turut undang Dr Zakir Naik

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Ketika ada pihak tidak senang kehadiran pendakwah terkenal dari India, sebaliknya Kelantan sedia memberi tempat untuk Dr Zakir Naik menyampaikan ceramah di negeri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata mesyuarat exco yang diadakan hari ini bersetuju menjemput Dr Zakir.

“Kelantan menawarkan diri untuk menjemput penceramah kontroversi itu memandangkan Dr. Zakir diiktiraf umat Islam di seluruh dunia.

“Lagi pun beliau pernah mendapat anugerah Tokoh Maal Hijrah Kerajaan Malaysia pada 2013. Kalau diteliti video ceramahnya beliau seorang tokoh perbandingan agama,” katanya di Kota Darulnaim.

Kelmarin Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTem) menarik diri daripada menjadi tuan rumah syarahan umum persamaan agama Islam dan Hindu oleh Dr. Zakir pada 17 April ini.

Sebelum itu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak membenarkan program berkenaan diadakan demi ketenteraman awam dan sensitiviti agama.

Dr Fadzli juga berkata sepanjang ceramah agama Dr. Zakir tidak merendahkan mana-mana agama lain.

Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri akan menghubungi penganjurnya di Malaysia untuk berbincang tarikh yang sesuai.

“Sekiranya program itu berjaya, kita juga akan menjemput NGO bukan Islam hadir dan berdialog dengan Dr. Zakir,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/4/2016

Share on Myspace