10 cadangan supaya program PAS lebih menarik

AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN | .

MUTAKHIR ini, program anjuran PAS semakin mendapat tempat di dalam masyarakat, khususnya program yang berbentuk dialog santai. Inisiatif kawasan dan cawangan menganjurkan Santai Teh Tarik atau seumpamanya adalah menepati Teras Wacana Rakyat di dalam Pelan Pemerkasaan Parti dan Transformasi Imej PAS (PPTI) yang digubal oleh Lajnah Pemerkasaan Parti PAS Pusat.

Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa kekurangan dari aspek teknikal dan kelemahan pengurusan seperti sistem pembesar suara (PA System) yang tidak jelas, kedudukan penceramah yang tidak strategik, kesesakan tempat program, tiada kaunter keahlian PAS, penceramah kempen minta beli Harakah tetapi tiada yang jual Harakah di tempat program, serta isu-isu teknikal lain yang biasa berlaku.

Kekurangan dan kelemahan ini menyebabkan program-program PAS sesetengahnya tidak menarik, hambar, suram dan memberi kesan terhadap tahap fokus dan kefahaman audiens kepada apa yang diucapkan oleh panel/penceramah.

Lebih malang jika sejumlah belanja yang besar dikeluarkan untuk menganjurkan sesuatu program, namun kehadirannya tidak seperti yang diharapkan. Modal yang besar tetapi pulangannya kecil (high cost, low impact). Sebaiknya, modal yang kecil tetapi pulangannya besar (low cost high impact).

Oleh hal yang demikian, program anjuran PAS perlu diberi penekanan yang serius dari aspek teknikal dan pengurusannya. Daripada pemerhatian dan penilaian rambang yang dilakukan, terdapat 10 perkara yang boleh dilakukan untuk menjadikan program-program PAS lebih menarik.

1. KIOSK AGENSI-AGENSI RASMI PARTI (ARC, AMAL, PASTI, NISA' dan lain-lain).
Perlu ada KIOSK untuk mempromosikan agensi-agensi rasmi parti seperti Alternative Riding Club (ARC), Alternative Photografi Club (APC), Jabatan AMAL, Nisa' dan lain-lain agensi yang sesuai di dalam program-program PAS.  

Kiosk tersebut hendaklah ada petugas yang memakai pakaian seragam agensi berkenaan yang bertindak sebagai 'promoter'. Meja, kerusi, bahan sebaran (pamplet), banting dan lain-lain yang berkaitan MESTI DISEDIAKAN & DISUSUN ATUR dengan baik & menarik perhatian.

Jika disediakan borang pendaftaran, sediakan juga pen utk mengisi borang & tukaran wang kecil jika ada yang membayar yuran penyertaan. Jika perlu gantung baju kemeja T (T-Shirt), sediakan penyangkut dan tempat menyangkut baju yang sesuai.

Elakkan sangkut baju pada wayar eletrik, pagar, handle motosikal atau hujung bucu meja, kerana ia memperlihatkan imej yang tidak menarik dan agak lekeh. Promosi terhadap sesuatu produk Islam hendaklah dalam keadaan menarik, supaya Islam itu sentiasa diliihat menarik.

2. 'SALESMAN' HARAKAH
Lazimnya ada kaunter atau meja yang menjual HARAKAH. Lebih menarik jika ada jurujual (salesman) yang menjual HARAKAH. Salesman ini mestilah beraksi sebagai juru-jual produk yang ringan mulut, ada maklumat tentang produk dan aktif bergerak ke sana ke mari mempromosi produknya.

Tukaran wang kecil juga perlu disediakan utk urusniaga jual beli HARAKAH. Jika perlu, sediakan juga buku tulis dan pen utk mencatat maklumat ahli-ahli yang ingin menjadi pelanggan tetap HARAKAH.

3. KAUNTER KEAHLIAN PAS
WAJIB ada kaunter daftar & semak KEAHLIAN PAS. Perlu sediakan borang keahlian PAS, laptop, internet, pen, dan tukaran wang kecil untuk mereka yang membayar yuran keahlian PAS. Keahlian PAS kini diproses oleh Pejabat Perhubungan PAS Negeri, disamping Pejabat Agung PAS Pusat.

Sebaiknya, petugas daripada pejabat PAS Negeri/Kawasan mengetuai tugasan ini. Dalam situasi PAS yang berhadapan dengan kemungkinan pertembungan 3 penjuru di dalam pilihan raya akan datang, PAS perlu mempunyai ahli yang ramai lebih daripada parti politik lain untuk memenangi pilihan raya. Justeru itu, program-program PAS yang melibatkan orang awam perlu menjadi medan merancakkan pertambahan keahlian PAS.

4. KAUNTER DAFTAR/SEMAKAN PEMILIH
Sediakan kaunter SEMAKAN DAFTAR PEMILIH. Laptop, printer, internet & SSDP diperlukan utk tujuan ini, disamping seorang petugas yang berpengetahuan dalam bab daftar pemilih. Buku catatan dan pen juga perlu disediakan jika terdapat sebarang kes-kes tertentu seperti pertanyaan untuk pindah tempat mengundi dan sebagainya.

Disamping itu, bancian daftar pemilih terhadap audiens yang hadir juga boleh dilaksanakan oleh pasukan ini ketika program berlangsung. Jika perlu, sediakan 'all in-one printer' yang berfungsi untuk fotokopi salinan mykad bagi tujuan daftar/semakan pemilih.

5. PEMBESAR SUARA
Sistem pembesar suara (PA System) perlu mencukupi dan boleh memenuhi saiz lokasi program dan jumlah audiens yang hadir. Pelarasan bunyi (bass, treble dan lain-lain) hendaklah dilakukan sebaiknya bagi memastikan bunyinya jelas dan terang.

Jika lokasi tersebut tiada sumber eletrik, pastikan bateri pembesar suara mudah alih telah dicaj secukupnya. Bateri mikrofon juga perlu cukup kuasanya supaya tiada gangguan kelancaran ketika majlis berlangsung. Jika hanya terdapat 1 buah speaker, pastikan kedudukannya strategik dan dapat didengari oleh semua audiens yang hadir.

Perlu diketahui, kegagalan pembesar suara boleh menyebabkan kegagalan majlis, walaupun dihadiri oleh audiens yang ramai dan penceramah yang hebat.

6. KEDUDUKAN PANEL/PENCERAMAH
Kedudukan panel/penceramah hendaklah diaturkan dengan baik. Pastikan tempat panel/penceramah lebih terang dan jelas cahayanya berbanding dengan tempat audiens. Jika perlu, tinggikan sedikit tempat panel/penceramah, supaya audiens dapat lihat penceramah tanpa perlu melihat daripada celah-celah audiens yang hadir.

Hubungan mata (eye contact) diantara audiens dengan penceramah akan lebih memberi kesan terhadap penyampaian penceramah. Sediakan juga air mineral utk diminum oleh panel/penceramah jika mereka kehausan setelah penat bercakap & menjawab soalan audiens. Penceramah yang kehausan kerana tiada air yang disediakan, akan membantutkan idea dan menjejaskan mood penceramah.

7. TEMPAT/PERALATAN JAMUAN
Jika disediakan jamuan untuk audiens, pastikan tempat jamuan dilengkapi kemudahan asas seperti meja, pinggan, cawan, bekas air, bekas makanan, dan tong sampah. Kedudukan tempat meletakkan hidangan hendaklah tidak mengganggu majlis. Susunan peralatan jamuan juga hendaklah sesuai supaya tidak berlaku kesesakan ketika audiens mengambil hidangan jamuan. Audiens yang mengikuti program dalam keadaan lapar dan dahaga, tahap penumpuannya terhadap program akan terjejas.

8. FOTO/GAMBAR PROGRAM
Program-program PAS mesti didokumenkan dalam bentuk foto. Dengan kecanggihan peralatan telekomunikasi hari ini, hampir setiap orang boleh menggunakan telefon masing-masing utk merakamkan foto.

Foto yang diambil mestilah menggambarkan keseluruhan suasana & keadaan majlis. Jika terdapat soal jawab antara audiens dengan penceramah, foto yang diambil mestilah menggambarkan berlakunya soal jawab tersebut. Teknik pencahayaan foto, teknik mengenal pasti sudut menarik, teknik zoom dan fokus, editing dan menerbitkan foto, hendaklah dilakukan oleh kumpulan jurufoto yang mahir. Pasukan daripada Alternative Photografi Club (APC) hendaklah memainkan peranan ini sebaiknya.

Selain itu, ucapan-ucapan penting daripada penceramah juga boleh direkodkan dengan video atau perakam suara, untuk tujuan rekod dan disebarkan. Foto, rakaman video/suara ini akan membantu sahabat-sahabat yang berhalangan untuk hadir program supaya dapat mengikuti 'siaran tertunda' program tersebut, sama seperti audiens yang hadir.

9. CATATAN/PEMBERITAAN PROGRAM
Selesai program, catatan-catatan yang berbentuk pemberitaan hendaklah dicatat sebaik mungkin dengan tepat dan betul. Catatan tersebut boleh diterbitkan di dalam Central Portal PAS (CPP) kendalian Lajnah IT PAS dan laman-laman media sosial yang berkaitan.

Wakil-wakil CPP disetiap negeri telah dilantik untuk mempercepatkan dan memudahkan berita program-program PAS diterbitkan. Jika sesuai & menarik, berita tersebut akan diterbitkan oleh Harakah Daily / Harakah Cetak. Berita berkenaan juga boleh dihantar kepada akhbar tempatan seperti Sinar Harian.

Syaratnya, catatan tentang program tersebut mestilah memenuhi rukun sesebuah berita yang menerangkan tentang who, when, where, what, why & how (5W1H). Catatan yang tepat dan betul dapat memberi maklumat yang sebenar tentang sesuatu ucapan atau keadaan yang berlaku. Perkara ini dapat menghapuskan fitnah dan kekeliruan yang sengaja diwujudkan oleh musuh-musuh PAS bagi memberi perspektif buruk kepada PAS. Dengan perkembangan teknologi media hari ini, sesiapa yang menguasai media, ia akan menguasai maklumat, walaupun maklumat itu batil.

10. KAWALAN TRAFIK & LALU LINTAS
Jika program melibatkan jalan-raya atau laluan orang awam, petugas daripada Jab. Amal / ARC perlu mencukupi untuk mengawal lalu-lintas & aliran trafik. Pastikan program-program PAS tidak menjejaskan laluan & mengganggu lalu lintas orang awam.

Jika terdapat konvoi motosikal, ianya mestilah diiring oleh pengiring (escort/marshall) yang terlatih, cekap dan berpakaian lengkap memenuhi ciri keselamatan. Elakkan berkonvoi, jika pengiring atau petugas terlatih tidak dapat disediakan. Akhlak di jalan raya dan keselamatan pengguna jalan raya perlu diutamakan.

PENUTUP
Selain daripada yang disebutkan diatas, inisiatif-inisiatif lain juga boleh dilakukan oleh penganjur untuk menjadikan program-program PAS lebih menarik daripada biasa. Gerai-gerai jualan yang menjual makanan, minuman atau produk-produk ekonomi Muslim boleh disediakan jika terdapat ruang yang mencukupi, sekaligus dapat menjana aktiviti ekonomi jamaah. Pihak muslimat juga boleh menyediakan khidmat penjagaan anak-anak (hadonah) yang selamat & selesa. Bayaran juga boleh dikenakan untuk menjana ekonomi muslimat.

Sistem & kemahiran pengurusan sesebuah program memberi kesan terhadap kualiti dan kesan kepada audiens serta masyarakat sekitar. Kaedah dakwah yang betul ialah kehadiran (penganjuran program) yang dapat memberi kesan kepada masyarakat.

Oleh itu, menjadi kewajipan kepada amilin PAS untuk menguruskan program dengan baik dan bersungguh-sungguh, kerana ia akan memberi kesan kepada jamaah & perjuangan Islam. Jika sesuatu program tersebut gagal disebabkan kelemahan pengurus yang menguruskan program, ianya akan dipersoalkan Allah SWT di akhirat kelak. Sebagai ahli jamaah Islam, hendaklah ada rasa berdosa jika tindak-tanduknya menyebabkan perjalanan jamaah terjejas.

Perlu diingati bersama, walaupun usaha-usaha untuk menjadikan program PAS lebih menarik telah dilakukan sedaya upaya, namun sebenarnya yang menjadikan program itu dilihat menarik oleh audiens ialah Allah SWT.

Maksudnya, pengurus dan penganjur program perlu memelihara hubungannya dengan Allah SWT, supaya program yang dianjurkan menarik perhatian manusia, memberi kesan yang baik dan menjadikan Islam mulia. Ketahuilah bahawa kebenaran yang tidak diuruskan dengan baik, akan ditewaskan oleh kebatilan yang diuruskan dengan baik. – HARAKAHDAILY 14/4/2016

Penulis ialah Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia

Share on Myspace