Non-Muslim antara DAP dan DHPP

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

EKORAN isu Dr Zakir Naik yang mendapat perhatian berbagai pihak, saya tertarik untuk mengulas sedikit perbandingan antara non-Muslim yang berada di dalam Democratic Action Party (DAP) dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Ini berikutan orang yang paling lancang mengkritik Dr Zakir sehingga mengeluarkan kata-kata kesat adalah non-Muslim dari DAP. Secara tidak langsung, sebenarnya DHPP juga ada kaitan dengan DAP.

Keduanya punya persamaan dari sudut pengaruh non-Muslim di dalam organisasinya. Walaupun DAP jua mempunyai keahlian Muslim, tetapi majoritinya dikuasai oleh non-Muslim terutama bangsa Cina yang menganut agama Kristian. DHPP pula memiliki kepelbagaian agama yang lebih luas melibatkan penganut Budhha, Hindu, Sikh dan Kristian. Penguasaannya pula tidak bersifat sektarian.

Kaitan terbesar antara DHPP dan DAP adalah kewujudan DHPP bermula setelah PAS bertahaluf bersama DAP. Ini fakta yang harus diakui. Walaupun sebelum ini PAS sudah lama bermunaqasyah soal membuka ruang dalam parti kepada non-Muslim, seperti mewujudkan Chinese Consultative Council (CCC) tahun 1986 sebagai jambatan PAS mendekati non-Muslim dan non-Malay.

Namun hanya selepas diadakan tahaluf bersama DAP melalui Barisan Alternatif tahun 1999, barulah anggota PAS bersedia menerima penyertaan bukan Islam. Ini berikutan penubuhan Kelab Penyokong PAS (KPP) setelah Jabatan Antara Budaya diperkenalkan akhir abad yang lepas.

Inilah matlamat tahaluf PAS dan DAP, iaitu dakwah. Ramai orang menyangka PAS matlamat PAS untuk kekal sehingga berjaya menawan PR, tetapi itu hanya sampingan. Sebagai parti paling lama terlibat di kancah politik nasional dan internasional, PAS sudah lama mengetahui siapa DAP dan apa pendiriannya dan matlamatnya terhadap Islam. Tetapi PAS masih meneruskan agenda tahaluf atas dasar dakwah, untuk menjadikan DAP sebagai batu loncatan mendekati non-Muslim.

Sebelum ini PAS dipandang serong oleh non-Muslim. Dek permainan media BN, PAS dilihat sebagai parti keagamaan yang membenci orang bukan Islam. Setelah bekerjasama dengan DAP, PAS kerapkali muncul sepentas dengan non-Muslim, serta dijemput ke program bersama bukan Islam. Dari situlah tanggapan buruk terhadap PAS berjaya dikikis satu persatu. Non-Muslim berjaya didekati oleh PAS.

Setelah lama bertahaluf, ditambah dengan DAP yang mula buat perangai tidak setuju dengan agenda Islam, PAS sudah mampu berdiri dengan sendiri apabila tertubuhnya KPP. KPP berperanan mengumpulkan non-Muslim yang tertarik dengan ajaran Islam dan agenda perjuangan PAS. Ini kerana PAS tahu bukan semua non-Muslim memusuhi Islam. Malah ada di kalangan mereka yang memahami dan menyintai Islam lebih dari sebahagian muslim lain. Cuma hidayah belum tiba.

Beberapa tahun kemudian, setelah perlembagaan PAS dipinda maka muncullah sayap terbaru parti dinamakan sebagai DHPP. PAS merupakan gerakan Islam pertama yang membuka keahliannya kepada non-Muslim. DHPP memberikan kuasa dan peranan yang lebih luas kepada non-Muslim di dalam organisasi parti.

Itu serba sedikit perkaitan antara kedua entiti tersebut. Dari sudut perbezaan pula, kita dapat melihat sendiri melalui pendirian setiap mereka. Telatah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Prof Dr Ramasamy terhadap Dr Zakir Naik menyokong lagi tanggapan masyarakat terhadap sikap sebenar parti tersebut kepada Islam.

Ini bukanlah reaksi pertama daripada kepimpinan dalam isu umat Islam. Sebelum ini sudah timbul isu-isu keagamaan seperti isu kalimah Allah, hak murtad, isu perlaksanaan syariah Islam Kelantan, isu pakaian menutup aurat, dan beberapa lagi yang menggugat kedudukan Islam di negara ini.

Keadaan ini sangat kontra dengan DHPP. DHPP adalah golongan yang menerima dasar Islam. Walaupun mereka juga bukan Islam seperti kepimpinan DAP, tetapi mereka adalah golongan yang percaya bahawa hanya Islam yang mampu menyelesaikan segala masalah negara. Mereka sangat mesra Islam dan berharap agar undang-undang Islam dapat diterapkan dalam negara. Mereka turut mendokong kepimpinan ulama.

Persamaannya, kedua-duanya yakin bahawa pemerintahan negara hari ini adalah zalim, lemah dan perlu diubah. Tetapi bezanya, DAP mahu merubah negara ini dari sistem yang ada kepada sistem demokrasi sekular yang dirasakan lebih adil dan berdaya. Ataupun mereka sekadar mahu menukar individu tanpa sistemnya. Sedangkan DHPP meyakini kezaliman dan kelemahan sistem yang ada hanya dapat diubah dengan sistem Islam dan individu yang kuat berpegang kepada ajaran Islam.

Kenapa DAP sanggup bersama PAS tatkala bertahaluf dulu? Ini kerana mereka juga bermatlamatkan untuk memecahkan tembok perkauman dan agama yang menghalang DAP mendapat sokongan Melayu Muslim. Selain itu, mereka mahu meyakinkan pengundi non-Muslim bahawa mereka mampu menandingi peranan MCA dan MIC dalam mempengaruhi parti Melayu.

DAP dahulu sanggup lakukan apa saja demi memastikan mereka meraih sedikit sokongan Melayu. Kononnya pandai membaca al-Quran, tidak menghalang hudud dilaksanakan, menjadikan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai khalifah dan sebagainya. Tetapi setelah selesa berkuasa, mereka mula berubah sikap. Daripada tidak mengganggu syariah Islam, kepada menjadi penentang utama perlaksanaannya di Kelantan.

Kalau sudah tahu siapa DAP, mengapa PAS sanggup bersekongkol dengan DAP dahulu? Inilah dunia politik. Walau berisiko, PAS harus bijak memanfaatkan peluang dan menukar mudarat menjadi manfaat. Apatah lagi sekiranya andaian kerugian hanya melibatkan urusan politik, tetapi keuntungannya besar dari sudut dakwah.

Pasca tahaluf PAS-DAP, kini DHPP terus maju dan berjaya melebar luaskan sayapnya ke dalam komuniti non-Muslim. Berita seorang non-Muslim keturunan Iban sebagai calon PAS di Sarawak, yang sebelum ini telah didahului dengan calon-calon lain dari DHPP dalam PRU13 menunjukkan PAS tidak pernah menutup ruang untuk non-Muslim membangunkan negara bersama Islam.

DAP kini boleh dianggap ancaman kepada agenda memperkasakan syariah di Malaysia. Sedangkan DHPP pula adalah aset berharga umat Islam untuk menjadi duta menyampaikan kebaikan syariah Islam. DHPP punya peranan besar untuk memberitahu non-muslim lain bahawa hak mereka sebagai non-muslim tetap tidak akan terabai jika Islam tertegak dengan sepenuhnya. Bahkan, nasib mereka sebagai rakyat akan lebih terpelihara.

Berbanggalah umat Islam, berbanggalah Malaysia, kita memiliki DHPP. – HARAKAHDAILY 14/4/2016

Share on Myspace