Bekas YDP keluar parti, kami tetap bersama PAS

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Mungkin agak mengejutkan apabila aktivis-aktivis muda PAS Kota Bharu ketika ditemui menegaskan mereka berjuang bukan kerana pemimpin, sebaliknya Islam menjadi pegangan.

“Biar pun Cikgu Wan Abdul Rahim dikenali umum dengan pengalaman dan ketokohannya, namun kami tidak mengikut jejaknya menyertai Parti Amanah.

“Apabila seseorang pemimpin meninggalkan wadah perjuangan Islam yang diasaskan tok-tok guru sejak awal penubuhan, kami tetap kekal bersama PAS,” kata seorang aktivis PAS Dun Tanjung Mas.

Ketika diaju soalan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah seorang pemimpin yang dikagumi sebelum ini, namun baginya sejarah itu sudah berlalu.

Menurutnya beliau hanya menghormati pemimpin yang istiqamah dalam perjuangan.

Pemangku Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Dr Rosli Alani Abdul Kadir (Gambar) pula mendakwa tidak ramai ahli dan penyokong PAS di Kota Bharu yang mengikut jejak langkah bekas Yang Dipertua PAS (YDP).

Berterus terang beliau memberitahu tidak ada nama besar yang dikenali umum di Kota Bharu mengikut jejak langkah Cikgu Wan Rahim meninggalkan PAS.

Katanya, biar pun bekas YDP seorang yang berpengaruh dan lama bersama PAS, namun tidak semestinya penyokong mengikut ke mana sahaja beliau melangkah.

“Sejarah pernah berlaku apabila Tan Sri Mohd Asri Muda meninggalkan PAS dengan menubuh Hamin, tidak ramai yang mengikutnya. – HARAKAHDAILY 14/4/2016

Share on Myspace