Jangan jadikan Dr Zakir Naik 'mesin basuh'

HARAKAHDAILY | .

Saya pada mulanya ketika kehadiran Dr Zakir Naik (DZN) ke Terengganu, telah menetapkan saya perlu membuang sikap syak kepada program ini atas semangat dakwah Islam.

Saya antara orang yang menyampaikan ucapan alu-aluan kedatangan DZN ke Terengganu secara rasmi dalam FB saya.

Saya juga menolak pemikiran sempit sesetengah bukan Islam yang membantah dan menyerang DZN bagi menyampaikan syarahan beliau. Saya konsisten dalam hal ini insyaAllah.

Apabila MB Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menyatakan beliau ada menawarkan sebuah pulau bagi DZN membina Yayasan Penyelidikan Islam di Kenyir, saya tumpang gembira.

Begitulah jika kita mempunyai kuasa, kita boleh menggerakkan kuasa itu bagi memartabatkan Islam sebagaimana PAS lakukan dahulu, sehingga sekarang, alhamdulillah tiada kedai judi di Terengganu dan Kelantan. Dan pengalu-aluan saya terhadap rancangan itu saya sertakan bersama sedikit cadangan supaya penganugerahan pulau itu akan menjadi lebih indah, lebih bermakna dan lebih afdhal lagi insyaAllah.

Suka saya mencadangkan agar YAB MB menoleh sedikit ke belakang iaitu kepada rakyat-rakyat yang masih ternganga-nganga menunggu tanah-tanah mahupun rumah-rumah bagi mereka yang miskin itu untuk mempunyai harta sendiri. Lebih-lebih lagi bagi golongan miskin yang dinafikan hak mereka kerana politik.

Juga kepada kes-kes penarikan balik tanah-tanah TOL satu ketika dahulu yang sebahagiannya diambil semula dengan perdaya yang licik dari kerajaan negeri yang baru mengambil alih pemerintahan daripada PAS ketika itu. Termasuk tanah di Darul Bayan yang jelas dibuat untuk pendidikan agama anak bangsa tetapi diganggu oleh JKKK kelolaan Umno. Tidak lupa juga penyelesaian segera yang ditunggu-tunggu oleh rakyat di Kampung Pasir Putih, Merchang berkenaan pengambilan tanah-tanah mereka bagi tujuan pembesaran jalan.

Itu belum lagi dikira Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang dinafikan hak mereka sebagai rakyat Malaysia yang sah. Juga bantuan sewajarnya wajib diberikan kepada pelajar-pelajar anak Terengganu di luar negara yang terkesan dengan kejatuhan nilai ringgit.

Sepatutnya MB juga menganugerahkan sebahagian tanah di Pulau Redang bagi mengimbangi penjualan tanah yang sangat murah satu ketika dahulu oleh kerajaan negeri Terengganu Darul Iman kepada tauke judi Vincent Tan atas nama Berjaya Group.

Sehingga kini Pulau Redang tidak pernah sunyi dari maksiat. Mungkin DZN boleh melakukan sesuatu bagi menghapuskan segala maksiat di situ.

Itulah yang sepatutnya dahulu dilakukan sebelum penganugerahan pulau itu dilakukan. Barulah ia mengikut kehendak Quran dan sunnah sebagaimana yang diidamkan oleh MB. Dan penolakan pelaksanaan hudud juga boleh dibatalkan dan diusulkan semula di dalam sidang Dun agar lebih menepati kehendak Quran dan sunnah.

Besar kemungkinan DZN tidak mengetahui apa yang berlaku di belakang tabir Terengganu, maka dia secara berbesar hati menerima tawaran itu. DZN juga tidak tahu yang mungkin dia digunakan sebagai "mesin basuh" bagi menyucikan seseorang yang sedang comot kerana bergomol dengan 'abangnya' sendiri.

Sekali lagi penegasan saya, saya amat bersetuju dengan cadangan penubuhan yayasan yang dikatakan itu di pulau di Kenyir, tiada yang salahnya. Hanya penambahbaikan yang saya cadangkan itu dikira sebagai perkara utama yang wajib diselesaikan dahulu sebelum anugerah itu diberikan.

Mungkin dengan membantu pelajar-pelajar atau rakyat yang miskin itu tidaklah mempopularkan nama MB sebagaimana beliau menganugerahkan pulau itu kepada DZN. Namun mereka tetap rakyat Terengganu yang miskin dan layak.

Saya sangat yakin dan percaya, sekiranya DZN dimaklumkan tentang ini, beliau pastinya bersetuju dengan saya. Wallahua'lam.

USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan PAS Terengganu
7 Rejab 1437 bersamaan 15 April 2016 - HARAKAHDAILY 15/4/2016

Share on Myspace