Kunta Kinte diberhentikan sekali lagi

A KADIR JASIN | .

PEMBAHAS dan pembaca blog kita ini yang juga membaca Berita Harian (BH) mungkin telah biasa dengan pojok bertajuk Kunta Kinte Original.

Pojok mingguan itu adalah tulisan saya yang keluar pertama kali pada 25 Mei 1987. Ia bermula sebagai ruangan “Biar Putih Tulang” menggunakan nama pena Kunta Kinte. Pojok ini berterusan sehingga tahun 1997 apabila dihentikan oleh sidang pengarang BH.

Ia diberhentikan kerana saya mengaitkan ucapan “famous” Tun Dr Mahathir ketika perhimpunan agung Umno di mana beliau memetik dialog drama Shakespeare berkenaan Julius Caesar yang berbunyi “Et Tu Brute” (“Engkau juga Brutus”).

Ucapan ini merujuk kepada pengkhianatan Brutus terhadap Maharaja Rome, Julius Ceaser. Saya kata, Brutus dalam ucapan Dr Mahathir itu adalah (Datuk Seri) Anwar Ibrahim yang pada waktu itu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Masa itu BH, TV3 dan Kumpulan Utusan adalah penyokong tegar Anwar.

Selepas itu saya menulis Kunta Kinte dalam bahasa Inggeris untuk akhbar Business Times.

Pada tahun 2010 Pengarah Eksekutif NSTP waktu itu, (Datuk) Ahmad A Talib dan Pengarang Kumpulan BH ketika itu (Datuk) Mior Kamarul Shahid menjemput saya untuk menulis semula pojok Kunta Kinte.

Dalam tradisi persuratkhabaran Melayu, pojok adalah ruangan memuatkan kata-kata lucu, berseloroh dan berkias tetapi pedas serta menyindir.

Bagaimanapun nama pena Kunta Kinte telah pun “diambil” tanpa izin saya oleh seorang blogger. Jadi terpaksalah saya pinda sedikit menjadi Kunta Kinte Original bagi membezakan pojok saya daripada tulisan blogger yang mengambil tanpa izin nama Kunta Kinte.

Saya memilih nama samaran Kunta Kinte sempena watak Kunte Kinte dalam novel sejarah “Roots” oleh penulis terkenal Amerika Alex Haley. Kunta Kinte adalah putera seorang raja Afrika yang diculik dan dijual kepada pedagang abdi. Walaupun dia dijadikan hamba, Kunta Kinte tetap mengekalkan maruah dan martabat beliau.

Sejak akhir-akhir ini, tulisan saya dalam pojok itu beberapa kali dipertikaikan oleh pihak atasan NSTP/BH. Saya terpaksa menulis balik atau meminda tetapi dengan tidak mengubah mesej asalnya.

Pada hari Selasa 12 April, saya dimaklumkan oleh Pengarang Kumpulan BH, (Datuk) Mahfar Ali bahawa mulai minggu ini ruangan itu diberhentikan.

Jadi hari ini (Jumaat), kalau pembaca BH tidak menemui Kunta Kinte sebabnya adalah ia telah diberhentikan oleh sidang pengarang BH/NSTP.

Terima kasih kepada Ahmad A Talib, Mior, Mahfar dan semua kakitangan Jabatan Pengarang BH, dulu dan sekarang, yang terbabit mengendalikan Kunta Kinte sejak ia dimulakan pada 1987.

Seperti saya beritahu Mahfar ketika menemui beliau Selasa lalu, saya faham kedudukan beliau dan saya berterima kasih kepada beliau kerana cuba mempertahankan ruangan Kunta Kinte Original. Tetapi saya tahu ada kuasa yang lebih berkuasa yang “wahyunya” wajib ditaati.

Cuma seperti yang saya tulis dalam blog ini pada 11 April lalu, petugas media arus perdana (MAP) “...wajib ingat. Di penghujungnya yang penting adalah pengedaran akhbar mereka dan bilangan penonton saluran mereka. Kalau kerana menyokong Mohd Najib membabi buta dan mencaci Dr Mahathir tanpa batasan, pengedaran akhbar mereka dan penonton stesen mereka merudum, bukan sahaja mereka tidak dapat melindungi Mohd Najib malah periuk nasi mereka sendiri terancam.

Mereka harus sedar mengapa MAP yang begitu besar dan berusia, semakin hari semakin dikalahkan oleh media atas talian?”

Sebagai penulis, saya juga terhutang budi kepada pembaca, khususnya mereka yang berjumpa dan menegur saya, kerana mengenali saya melalui ruangan Biar Putih Tulang/Kunta Kinte dan Kunta Kinte Original.

Insya-Allah kalau ada rezeki dan peluang saya atau Kunta Kinte Original akan bertemu pembaca di tempat lain. Itulah harapan dan iltizam saya sebagai penulis. - kadirjasin.blogspot.my/

Share on Myspace