Bertindih, tengok penamaan calon - Presiden PAS

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

MARANG: PAS tetap dengan keputusan parti akan bertanding di 11 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 pada 7 Mei depan.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu akan bertanding di 11 kerusi Dun Sarawak.

Malah, katanya perkembangan PAS mutakhir ini di Sarawak amat baik dan yakin dengan penerimaan awal rakyat di sana.

“Kita tanding 11 kerusi (Dun), insya Allah… ada perkembangan baik (PAS) di Sarawak,” ujarnya kepada wakil media selepas menyampaikan kuliah mingguan pagi Jumaat, di Masjid Rusila hari ini.

Mengulas jika berlaku pertindihan kerusi pada pilihan raya negeri itu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN), beliau menjelaskan tunggulah pada hari penamaan calon 25 April ini.

Namun, katanya PAS tetap akan bertanding 11 kerusi Dun sebagaimana telah diumumkan pada 6 April lalu di Bintulu, Sarawak.

“Pertindihan itu tengok pada hari penamaan calonlah dan kita tetap (bertanding) 11 Dun yang telah kita umumkan,” jelasnya kepada media.

Pada 6 April lalu, PAS telah mengumumkan calon parti yang bertanding di 11 kerusi Dun PRN Sarawak ke-11.

Dun yang PAS bertanding ialah N04 Pantai Damai calonnya Zainal Abidin Yet, N07 Samariang (Ustaz Yusof AsSidiqqi Ahmad Sharkawi), N16 Muara Tuang (Zulkipi Ramzi), N24 Sadong Jaya (Cikgu Asan Singkro), N27 Sebuyau (Ustaz Wan Abdillah Wan Ahmad), N29 Beting Maro (Hamidah Mokhtar), N60 Kakus (Clement Bayang), N67 Jepak (Kiprawi Aman), N70 Samalaju (Ir Zharudin Narudin), N72 Lambir (Muhammad Arifiriazul Paijo) dan N74 adalah Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari penamaan calon bagi PRN Sarawak pada 25 April, pengundian awal 3 Mei dan hari membuang undi 7 Mei depan. - HARAKAHDAILY 15/4/2016

Share on Myspace