LATAS DMPM anjur Program ‘Urban Farming’

HUZIR SULAIMAN | .

LAJNAH Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan HalWa Masjid Ar-Ridhuan Trolak Utara, Perak telah menganjurkan program "Urban Farming".

Program tersebut diadakan di Masjid Ar-Ridhuan Trolak Utara, Perak yang bertujuan mendidik masyarakat kaedah bercucuk tanam di rumah menggunakan kaedah "urban farming" yang juga merupakan cara bebas bahan kimia dan boleh dimanfaatkan untuk semua jenis tanaman.

Antara bahan yang digunakan adalah batu, pasir, tanah kebun, daun kering dan juga benih. Jenis tanah ini boleh disimpan untuk jangka masa yang lama.

Selain daripada itu, keistimewaan teknik ini ialah dengan membuat semburan yang menghalau serangga dan bukan membunuhnya. Ia terdiri daripada bahan organik yang terdapat di dalam rumah.

Antara bahan yang boleh digunakan adalah bawang putih, air dan cili yang boleh menghalau serangga perosak. Cara ini merupakan alternatif lain bagi penggunaan racun yang mengandungi banyak bahan kimia yang boleh mengakibatkan pelbagai penyakit berbahaya.

Seramai 70 orang peserta yang hadir termasuklah Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh juga diajar cara menggunakan bahan-bahan seperti cili, labu manis, betik, dan air untuk dijadikan sebagai baja bagi tanaman.

Bahan-bahan tersebut dipotong kecil, dicampurkan dan diperapkan dalam bekas kedap udara selama sepuluh (10) hari sebelum boleh digunakan.

Di samping itu, teknik "urban farming" ini juga menghasilkan baja fish asid amino yang menggunakan sisa buangan ikan yang diperap dengan menggunakan air selama tujuh (7) hari dan boleh digunakan untuk menghasilkan tanaman yg lebih subur, besar dan lebih berkualiti tanpa penggunaan bahan kimia.

Semua peserta yang hadir teruja dan menyatakan rasa bertuah terlibat dalam program ini. Banyak input baru yang diperolehi dan perlu diaplikasikan bagi menyemai serta melestarikan kehidupan yang lebih sihat lagi terjamin.

Semoga program seperti ini dapat diperkenalkan dengan lebih meluas lagi ke seluruh negara selepas ini. – HARAKAHDAILY 15/4/2016

Share on Myspace