Dr Zakir Naik: Islam sejelas mentari

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Dr Zakir Naik, seorang pendakwah Islam prolifik yang setiap masa berpusing ke seluruh dunia menyebarkan Islam nampaknya berjaya mencetus suasana bising di Malaysia pada tahun ini.

Kehadirannya beberapa hari lepas telah disedari oleh semua hatta oleh orang-orang kampung yang langsung tidak memahami Bahasa Inggeris. Ia gara-gara tembakan liar yang dilepaskan oleh beberapa individu dalam negara yang melihat Dr Zakir Naik sebagai satu ancaman kepada keharmonian dan kestabilan negara.

Terakhir yang saya baca ialah kenyataan oleh seorang menteri senior BN berugama Islam yang menyokong larangan terhadap ceramah Dr Zakir Naik dalam negara. Katanya, selepas dia ceramah, dia akan tinggalkan Malaysia. Akhirnya kitalah yang terpaksa sapu segala kerosakan yang dilakunya, bukan dia. Nampaknya Prof Ramasamy ada juga penyokong daripada kalangan menteri Umno.

Begitulah kehendak Allah. Islam ini menakjubkan sekali cara ia berkembang. Ia bisa berkembang dalam senang dan susah, suka dan benci, malah dalam aman dan perang. Ia bukan satu paksaan, tetapi manusia terpaksa melutut kalah kepada kebenarannya, lalu mereka memaksa diri mereka sendiri untuk menerima Islam. Mana mungkin manusia dapat melakukannya jika tidak kerana ugama ini benar-benar dijaga oleh Allah untuk manfaat, maslahat dan kebaikan untuk seluruh manusia.

Tulisan ini bukan untuk menghujah melawan orang-orang yang mahu menyekat Dr Zakir Naik daripada berdakwah, tetapi untuk melihat bagaimana Islam yang dijaja rata riti di segenap rantau oleh beliau.

Jika kita perhatikan ceramah dan soal jawab beliau bersama audiennya, kita akan dapati ucapan beliau mengandungi tiga nilai dan inti utama:

Pertama, meyakinkan umat Islam bahawa Islam yang mereka anuti adalah satu ugama yang benar dan unggul ke atas seluruh ugama lain.

Kedua, meyakinkan non muslim bahawa ugama-ugama lain telah tamat dan berakhir peranannya dengan kehadiran ugama terakhir daripada Allah iaitu Islam.

Ketiga, meyakinkan golongan ateis moden bahawa menolak kewujudan Allah adalah logika paling mustahil.

Nilai yang berjaya dibangkitkan oleh Dr Zakir Naik inilah yang menyebabkan kehadiran 'full house' para pendengar dalam ceramahnya di mana-mana pun. Ia seperti kedahagaan yang melampau yang memerlukan curahan air yang mencurah-curah buat membasahkan kering tekak.

Isi ceramah beliau penuh dengan bukti-bukti (al bayyinah) kebenaran Islam sebagai ugama yang benar dan satu-satunya. Ceramah beliau sebenarnya sangat sesuai untuk non muslim mengenali Islam. Tetapi yang peliknya, lebih 90 peratus kehadiran adalah umat Islam sendiri.

Ya, Isu Islam hari ini adalah umatnya sendiri, bukan umat lain yang memeranginya. Umat Islam hari ini menjahili ugama sendiri sehingga mungkin sejahil non muslim terhadap ugama Islam. Mereka tidak memiliki ilmu dan keyakinan bahawa Islam yang mereka anuti adalah satu ugama yang begitu unggul dan cemerlang.

Justeru apabila mereka mendengar kupasan demi kupasan yang begitu berkaliber daripada Dr Zakir Naik, ramai yang begitu girang dan menitiskan air mata gembira dengan kekuatan Islam dan kebenarannya. Baru mereka terasa betapa mereka sedang mendakap satu nikmat yang tiada perinya dalam diri mereka.

Sekarang jelas sekali bahawa isi dan inti ceramah Dr Zakir Naik adalah untuk orang Islam sendiri agar mereka kembali kepada ugama mereka sendiri, mengatasi keperluan ceramahnya untuk rakan-rakan non muslim.

Jikapun ceramah beliau tidak dihadiri non muslim, tetapi apabila ia berjaya mengubah diri umat Islam sendiri untuk hidup dengan pengajaran ugama mereka, ia pastinya sudah cukup menjadi satu kejayaan yang besar buat Dr Zakir Naik.

Dakwah Islam sebenarnya bukan hanya dengan pergantungan kepada individu-individu hebat seperti Dr Zakir Naik, tetapi dengan ilmu dan akhlak umat Islam sendiri. Rakan non muslim akan tertarik dengan Islam dan menerimanya dengan baik melalui kejiranan hidup bersama umat Islam yang mengamalkan Islam yang sempurna.

Isu dakwah adalah kegagalan umat Islam untuk memperkenalkan ugama mereka sendiri. Mereka jahil. Kejahilan melahirkan kekeliruan dan was-was terhadap ugama. Akhirnya, untuk sebahagian mereka, keperluan untuk diubati adalah sama seperti non muslim yang sememangnya memerlukan ubat ilmu dan maklumat.

Islam sarangnya di hati. Ia membina istana ketenangan di dalam diri sebelum ia membina pemerintahan keadilan di muka bumi. Siapa pun tidak mampu memberi apa yang dia tidak miliki. Jika dia memiliki kegagalan, maka dia hanya mampu memberi kegagalan juga nanti.

Hari ini umat Islam berpolitik ingin memerintah di negara masing-masing. Malangnya, tatkala mereka diberi nikmat memerintah, mereka gagal menghasilkan buah-buah keadilan dan keharmonian untuk negara mereka, malah negara dipenuhi buah-buah yang buruk dan busuk. Benarkah, jika istana Islam terbina di dalam hati, maka yang lahir dalam negara ialah gejala rasuah, salah guna kuasa, jenayah kolar putih, penindasan dan penipuan terhadap rakyat? Tidak bukan?

Dr Zakir Naik secara jelas berjaya membuktikan Islam sebagai ugama tunggal pada akhir zaman. Ugama-ugama besar dunia pada hakikatnya telah membenarkan kehadiran Islam melalui kitab-kitab mereka sendiri. Tinggal lagi, non muslim sendiri tidak mengetahuinya. Ia penyakit yang sama. Manusia hari ini terlalu jahil dengan ugama masing-masing. Mereka disibukkan dengan dunia kebendaan sehingga memalingkan mereka daripada melihat kepada hakikat yang lebih utama iaitu menikmati kehidupan beribadah kepada tuhan yang mencipta kehidupan ini.

Dunia manusia hari ini begitu jauh terpesong daripada jalan yang lurus. Dunia seperti sedang berlayar laju ke neraka. Nakhodanya adalah syaitan yang direjam. Lahir manusia atheis, hidup tanpa tuhan selain nafsu serakah yang mengabdikan jasad dan akal. Siapakah yang mampu menghalang kehancuran yang menanti ini?

Islamlah keajaiban. Ia adalah cahaya dan bahtera yang sejahtera. Islam dijaga Allah sehingga hari kiamat. Allah adalah tuhan yang maha pengasih dan penyayang terhadap hamba-Nya.

Sebagaimana Allah menyelamatkan kehancuran dunia 1400 tahun lepas dengan perutusan al Rasul yang agung akibat malapnya cahaya ugama-ugama terdahulu dengan kezaliman penganutnya, begitulah rahmat Allah berterusan untuk hamba-Nya hari ini yang dinoda kejahilan dan kajahatan manusia.

Dimunculkan para ulama dan pejuang Islam yang bertali arus mengekang kelajuan jahiliyah. Akan terus ada bahtera penyelamat yang datang memberi harapan dan cahaya buat seluruh manusia.

Hujungnya adalah hidayah daripada Allah. Ia milik-Nya 100 peratus. Dia memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya dengan ilmu-Nya yang maha luas. Begitulah, Dia menyesatkan orang yang dikehendaki-Nya dengan ilmu-Nya yang luas.

Ramai manusia dilahirkan cemerlang dan terbilang. Kelahirannya mengubah kehidupan manusia dengan genius otak yang dimiliki mereka. Para genius merangsang sains dan teknologi. Hidup kita hari ini adalah hasil otak-otak genius yang berjaya menghasilkan teknologi tanpa wayar, komputer, internet, media baru dan pelbagai lagi.

Tetapi umat manusia perlukan genius yang lebih hebat buat membelah tabir alam ghaib yang memunculkan pahala dan dosa, malaikat dan syaitan, malah syurga dan neraka di hadapan mata. Agar mereka melihat alam yang begitu luas dari dunia yang sempit ini.

Kita perlukan gabungan genius akal dan kesucian ilmu wahyu. Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam adalah penghulu kegeniusan dan kebijaksanaan. Selepas baginda lahir para ulamak Islam yang membelah tirai ghaib dengan akal dan hidayah.

Dr Zakir Naik bukan berseorangan. Allah melahirkan para bijaksana akal dan hidayah sepanjang masa. Kita sayugia mensyukurinya dan bergembira dengannya. Musuh kesyukuran ialah keegoan yang tinggi. Jauhi bersifat seperti menteri senior BN itu. Ia adalah keangkuhan yang nyata.

"Maka bersujudlah semua kepada Allah dan sembahi-Nya." - HARAKAHDAILY 16/4/2016

* Artikel di atas adalah untuk siri kolum 'Terang Rembulan' akhbar Harakah.

Share on Myspace