Peguam PAS siap sedia khidmat di Bumi Kenyalang

HARAKAHDAILY | .

PEGUAM-peguam PAS bersedia untuk berkhidmat dan turun padang membantu jentera Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di 11 DUN bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Kali Ke-11.

Mesyuarat penyelarasan antara barisan peguam PAS bersama Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat telah diadakan bagi membincangkan gerak kerja dan penyusunan tugasan pengamal undang-undang dan taklimat-taklimat berkaitan.

Datuk Mustafa Ali (Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS) dan Mukhtar Suhaili (AJK PAS Pusat dan Setiausaha PAS Sarawak) telah hadir memberi taklimat perkembangan terkini persiapan PRN Sarawak. Datuk Mustafa memaklumkan gerak kerja jentera di kesemua DUN sedang bergerak dan kehadiran peguam PAS yang memberi komitmen untuk turun berkhidmat amat dihargai.

Wan Rohimi Wan Daud (Ketua Penyelaras Undang-undang PAS PRN Sarawak yang juga merupakan Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM)) seterusnya telah membincangkan koordinasi jadual tugasan, direktori, logistik, isu-isu dan hal-hal berkaitan tugasan peguam dalam pilihan raya kali ini.

Mobilisasi peguam PAS akan bermula secara berperingkat-peringkat ke kesemua 11 DUN PAS bertanding menjelang hari penamaan calon pada 25 April 2016 sehingga hari pengundian pada 7 Mei 2016.

Mereka akan memberi nasihat perundangan, memerhati perjalanan hari penamaan calon dan hari pengundian serta memantau perjalanan pilihan raya.

PAS Sarawak akan bertanding di kerusi DUN N4 Pantai Damai, N7 Samariang, N16 Muara Tuang, N24 Sadong Jaya, N27 Sebuyau, N29 Beting Maro, N60 Kakus, N67 Jepak, N70 Samalaju, N72 Lambir dan N74 Pujut. Kesemua 11 Calon PAS telah diisyhtiharkan pada 6 April dan sebelumnya pada 12 Mac Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah melancarkan Tawaran Sejahtera PAS Untukmu Sarawak. – HARAKAHDAILY 16/4/2016

Share on Myspace