Pelajar dibuli kesal digantung sekolah tanpa siasatan

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Biarpun diumum Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) 10 April lepas pelajar yang didakwa dibuli digantung sekolah, namun surat pemakluman itu baharu diterima bapanya petang ini.

Surat yang ditandatangani pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa Mukhter Mahmood bertarikh 10 April 2016, diterima Dr Zulkeflee Yaacob (Gambar) melalui perkhidmatan pos laju.

“Ini bermakna surat itu mengambil masa seminggu untuk sampai ke tangan ibu bapa, sedangkan kedudukan sekolah dengan rumah saya hanya 10 km.

“Saya bimbang ada sesuatu yang tidak kena berlaku kerana surat penggantungan anak saya mengambil masa begitu lama untuk diserahkan,” katanya di sini.

Baru-baru ini media melaporkan pelajar tingkatan empat SMK Pengkalan Chepa didakwa mencederakan pelajar tingkatan tiga sehingga retak tulang leher.

Pada kejadian jam 1.45 petang 7 April mangsa dilapor ditendang dua kali di leher sehingga menyebabkan tidak sedar diri.

Ekoran itu Timbalan Pengarah JPN Jaafar Ismail dalam kenyataannya 10 April  lepas memberitahu pelajar yang terbabit dalam pergaduhan di SMK Pengkalan Chepa digantung sekolah selama dua minggu.

Pelajar terbabit Aiman Hazim, 15 dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II ekoran kejadian tersebut. Beliau dibenarkan keluar wad petang Khamis lepas.

Dr Zulkeflee yang juga seorang pensyarah berkata borang lampiran J yang disebut diserta bersama surat penggantungan sekolah tidak diterimanya untuk ditandatangani anaknya.

“Sepanjang seminggu anak saya dirawat di hospital tidak ada wakil sekolah yang datang menyiasat kes buli tersebut.

“Apa yang berlaku kelihatan pergantungan sekolah dibuat tanpa siasatan. Kes ini pada saya bukan pergaduhan sebaliknya buli seperti cuba disembunyikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/4/2016

Share on Myspace