Ustaz Zabidi dilantik anggota Exco Kerajaan Pulau Pinang

HARAKAHDAILY | .

USTAZ ZABIDI DILANTIK ANGGOTAI EXCO KERAJAAN PULAU PINANG (18 APRIL 1977)

PADA hari ini dalam tahun 1977, Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Dr Lim Chong Eu telah memaklumkan bahawa Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Zabidi Ali dilantik menganggotai Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkuat kuasa mulai 19 April 1977.

Ustaz Haji Zabidi yang juga ADUN Sungai Dua merupakan satu-satunya ADUN PAS di Pulau Pinang setelah beliau memenangi kerusi tersebut atas tiket BN dalam Pilihan Raya Umum Kelima pada 24 Ogos 1974.

Ustaz Haji Zabidi yang dilahirkan pada 1919 pernah belajar di Mekah, sebelum berguru dengan Sheikh Abdullah Maghribi, Sheikh Abdullah Fahim dan Sheikh Hassan Yamani di Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar.

Bekas pemimpin Persatuan Melayu Seberang Perai ini pernah menyertai Umno pada 1946 sebelum menjadi pengasas PAS pada 1951. Beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS (1951-1958 dan 1974-1987), Setiausaha Agung PAS (1956) dan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang (1957-1958 dan 1977-1989).

Beliau juga adalah Yang Dipertua Pertubuhan Tani Malaya sehingga 1955. Bekas guru di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMUZA) Terengganu (1958-1971) ini juga pernah menjadi ADUN Sungai Dua (1974-1982) dan Ahli Parlimen Permatang Pauh (1978-1982).

Pelantikan beliau sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang ini menjadikan beliau sebagai pemimpin PAS terakhir yang dilantik ke jawatan tersebut pada zaman PAS dalam BN. Selain Kelantan, di negeri-negeri lain, perlantikan Exco dibuat selepas Pilihan Raya Umum 1974 iaitu Ustaz Ismail Kassim dan Cikgu Sudin Wahab (Kedah), Ustaz Harun Jusoh dan Ustaz Kassim Ahmad (Terengganu) serta Ustaz Mohamad Junid (Perak).

Atas desakan PAS, selepas Datuk Hussein Onn menjadi Perdana Menteri, PAS diberikan tambahan kerusi Exco di Perlis dan Pulau Pinang, di mana Ustaz Ahmad Long dilantik sebagai ahli Exco Kerajaan Negeri Perlis pada 19 September 1976, sedangkan perlantikan Ustaz Haji Zabidi di Pulau Pinang bermula 19 April 1977.

Kedudukan Ustaz Haji Zabidi dalam kepemimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang walau bagaimanapun tidak kekal lama ekoran krisis politik yang tercetus di Kelantan pada 1977 yang menyebabkan PAS disingkirkan dari BN pada 13 Disember 1977, yang sekali gus mengakhirkan peranan PAS dalam Kerajaan Pulau Pinang.

Namun begitu, selepas krisis ini, Ustaz Haji Zabidi bukan sahaja dapat mempertahankan kerusi DUN Sungai Dua dalam Pilihan Raya Umum 1978, tetapi turut merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh dari BN.

MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
18 April 2016 – HARAKAHDAILY 18/4/2016

Share on Myspace