Kalaulah RM2.6 bilion itu bukan kepada Najib

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

 

KALAULAH RM2.6 bilion yang dikatakan didermakan dan dimasukkan kepada akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak selaku PM dan Presiden Umno, diberi kepada sesiapa sahaja dalam kalangan mana-mana rakyat Malaysia; ahli politik, aktivis Ngo, individu, institusi pendidikan dan lain-lain, pasti senario yang berlegar sekitar isu RM2.6 bilion itu akan jadi cukup berlainan.

Tidak boleh dibayangkan lagi jika ia disalurkan kepada parti pembangkang atau Ngo yang kritikal kepada kerajaan. Seluruh jentera pihak berkuasa termasuk media akan melancarkan operasi amukan maksimal. Terbayang akan ada yang ditahan atau ditarik balik kerakyatan  atas nama keselamatan negara. Jika tidak percaya, cuba. Cuba usahakan, dan akan dilihat apa yang akan berlaku.

Namun dalam simpang siur maklumat yang didedahkan berbulan-bulan lamanya, ternyata ada kekalutan pihak yang mempertahankan Najib dengan pelbagai alasan, walaupun seluruh rakyat semakin melihat alasan-alasan yang diutarakan itu bagaikan lawak mega ditahap nasional, tidak,  ditahap antarabangsa sebenarnya.

Jawapan berputar-putar dan rakyat dianggap seolah tidak boleh berfikir dan mudah diperbodohkan. Mula dikata sumbangan dari seorang individu putra Arab, kemudian oleh kerajaan Saudi. Ditengah-tengah itu alasan penderma juga berubah-ubah.

Mula derma tanpa syarat, kemudian kerana hendak menangani pengganas, kemudian kerana hendak memenangkan Umno-BN dalam pilihan raya, seterusnya kerana membantu program Islam Wasatiyyah.

Padahal jawapan kepada soalan yang rakyat mahukan, paling mudah: kenapa dimasukkan ke Akaun peribadi dan ke mana dan di mana rekod wang itu dibelanjakan?

Jika benar tujuan duit itu didermakan setulus hasrat yang kononnya diniatkan oleh penderma, soalnya kenapa dirahsiakan sedemikian lama sehingga maklumat terdedah baru menggelupur mencari alasan demi alasan?

Setelah sekian lama rakyat menjerit-jerit menuntut penjelasan di mana wang itu sekarang, tiba -tiba Peguam Negara mengumumkan telah dipulangkan semula sebahgiannya kembali kepada penderma.

Ketika penulis di Saudi, tidak pula diketahui oleh rakyat Saudi benarkah sebahgian wang itu dikembalikan semula. Entah di mana pula wang terbaki itu dibelanjakan, pun tidak dijelaskan. Dalam keadaan kalut mencari jawapan, beberapa orang ternama terpelanting dipecat, ditamatkan dan dibisukan kerana dilihat berbahaya kepada kedudukan PM dan Presiden Umno.

Untuk mempertahankan Najib, alasan tidak salah menerima sumbangan wang oleh mana-mana parti politik dihamburkan. Wang sejumlah RM2.6 bilion masuk Akaun peribadi tidak salah?

Bank Negara membenarkannya? Bila terdedah baru Bank Negara mahu siasat? Jumlah wang sebanyak itu masuk dalam Akaun peribadi Najib, Bank Negara tidak tahu?

Jadi sekarang, bila Menteri Luar kerajaan Arab Saudi mengesahkan menjadi penderma kepada wang itu, para penjaga kepentingan kedudukan PM dan diri sendiri dengan cepat mengistiharkan bahawa isu RM2.6 bilion itu selesai, bahawa Najib adalah "bersih", bahawa segala dakwaan terhadap Najib adalah bohong.

Nah, inilah nasib rakyat Malaysia. Jika banyak bertanya dianggap dihasut, jika berani membantah dituduh pengkhianat. Jika mengkritik dikutuk sebagai tidak hormati kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Keadaan ini diungkit oleh banyak pihak sebagai dikatakan "bersih", tetapi tidak kelihatan bersih (clean but not seen to be clean), itulah yang sedang menghantui Najib. Beliau terpaksa mengembeleng seluruh hulu balangnya untuk mempertahankan dirinya. Padahal Najib tahu benar, rakyat semakin hilang keyakinan kepada beliau dan kerajaan.

Perhimpunan yang mengusung dan mengangkut rakyat dengan puluhan bas untuk menyambut Najib dikatakan sebagai simbol sokongan rakyat, tidak akan boleh menghilang rasa jengkel rakyat terhadap kerajaan dan pemimpin kerajaan yang bakal tercatat dalam lembaran sejarah negara.

Gambar khemah atau dewan memenuhi setiap ruang ketika menyambut Najib dalam perhimpunan seolah petanda rakyat memberi sokongan sepenuhnya kepada beliau, sama sekali tidak boleh merubah persoalan pokok yang ditimbulkan.

Apakah benar isu ini telah selesai mengikut kata beberapa orang Menteri JPM sekaligus ahli Majlis Tertinggi Umno? Beranikah mereka berdepan dengan rakyat secara langsung untuk menyatakan pendirian mereka mengenai isu ini.

Beranikah mereka menyakinkan pengundi di kawasan Parlimen atau Dun mereka bahawa Najib "bersih" dan rakyat tidak perlu khuatir? Rakyat bakal memberi mesej jelas kepada kerajaan dalam pilihan raya akan datang. – HARAKAHDAILY 18/4/2016

Penulis ialah presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim)

Share on Myspace