Nelayan terbabit wajar dibayar pampasan

HARAKAHDAILY | .

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Pulau Pinang dan pihak berkuasa berkenaan menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran laut yang turut mengancam sumber pendapatan 600 nelayan pantai di Teluk Bahang ketika ini.
 
Masalah yang serius berlaku sejak tiga bulan yang lalu itu telah menyebabkan nelayan terbabit tidak turun ke laut kerana ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama mereka semakin pupus.

Sebelum masalah ini berlaku, nelayan di sini memperolehi pendapatan sebanyak RM200.00 sehari tetapi sekarang hanya mendapat antara RM30.00 hingga RM40.00 sahaja sehari.
 
Oleh sebab tidak berbaloi dengan pendapatan yang diperolehi dan bimbang pukat mereka rosak diancam pencemaran yang berlaku, nelayan yang terlibat membuat keputusan untuk tidak akan turun ke laut selagi pihak kerajaan tidak menyelesaikan masalah ini.
 
Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati kemungkinan kejadian tersebut berpunca dari pembuangan sisa kumbahan ke dalam Sungai Batu Ferringhi dan mengalir ke laut menyebabkan perairan Teluk Bahang tercemar dengan serius.

Air Sungai Batu Ferringhi bukan saja berwarna hitam pekat dan berminyak tetapi juga berkelodak serta berbau busuk.
 
Ikan berkualiti tinggi seperti bawal dan senangin juga semakin berkurangan. Selain itu beberapa jenis ikan seperti gelama, tengkerong, kerapu dan jenahak banyak yang mati akibat kejadian itu. Pukat nelayan-nelayan di sini juga mengalami kerosakan kerana diancam sisa lumpur akibat pencemaran tersebut.
 
CAP turut menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan segera bagi menangani masalah ini. Siasatan dan kajian secara menyeluruh yang melibatkan kerja-kerja pengorekan muara sungai dan kesan akibat projek penambakan laut dan pembangunan di tanah tinggi di kawasan ini juga perlu dilakukan oleh pihak berkenaan.
 
CAP bimbang jika punca berlakunya masalah pencemaran ini tidak ditangani dengan berkesan alam sekitar dan kehidupan nelayan-nelayan di Teluk Bahang akan terancam dengan lebih teruk lagi pada masa akan datang.
 
CAP kesal walau pun masalah ini telah lama berlaku tetapi tidak ada tindakan yang diambil oleh pihak yang tertanggungjawab bagi mengatasinya. CAP meminta pihak berkenaan membayar pampasan kepada nelayan yang terputus mata pencarian akibat kejadian pencemaran ini.

S.M.MOHAMED IDRIS
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). – HARAKAHDAILY 18/4/2016

Share on Myspace