TG Nik Abdul Aziz diangkat sebagai Ketua Dewan Ulamak

HARAKAHDAILY | .

TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ DIANGKAT SEBAGAI KETUA DEWAN ULAMAK PAS PUSAT (19 APRIL 1968)

PADA hari ini dalam tahun 1968, Ahli Parlimen Kelantan Hilir, Ustaz Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah dipilih sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat menggantikan Tuan Guru Haji Hussein Rahimi Mat Saman yang tidak mempertahankan jawatannya dalam Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat 1968 di Perlis.

Tuan Guru Haji Hussein Rahimi yang mengundurkan diri, telah menjadi Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat sejak 1962 iaitu selepas Tuan Guru Haji Abdul Samad Nuh (1958-1962), Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin (1956-1958) dan Sheikh Abdullah Fahim (1952-1953).

Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat Kali Ke-11 yang sepatutnya diadakan pada 6 Oktober 1967 telah ditangguhkan ke tarikh baru, iaitu 19 April 1968 ekoran berlakunya Pilihan Raya Kecil Kelantan Hilir pada 21 Oktober 1967.

Ustaz Nik Abdul Aziz yang menjadi calon PAS dalam pilihan raya ini telah berjaya mempertahankan kerusi tersebut ekoran kematian Haji Ahmad Perai pada 30 Ogos 1967. Setelah menjadi Ahli Parlimen Kelantan Hilir, Ustaz Nik Abdul Aziz sebagai seorang tokoh ulama muda telah dicalonkan untuk menggantikan Tuan Guru Haji Hussein Rahimi, rakan sepeguruannya di Pondok Tok Khurasan pada akhir 1940-an.

Ustaz Nik Abdul Aziz yang merupakan anak kepada ulamak terkenal, Tuan Guru Haji Nik Mat Alim bin Raja Banjar iaitu ahli Majlis Ulamak MAIK, telah dilahirkan pada 10 Januari 1930 di Pulau Melaka.

Setelah mendapat pendidikan daripada ayahnya sendiri, beliau berguru dengan Tok Khurasan di Kampung Sireh di samping belajar di Jamik Ismaili Merbau, kemudian ke Madrasah Ittidaqiyah, Jerteh.

Pada 1952 beliau mendalami ilmu hadis di Darul Ulum Deoband, India dan pada 1958 beliau mendapat ijazah tafsir al-Quran di Madrasah Qasim al-Ulum al-Mutaallaqah, Jamiah Khudamuddin, Sherawala Gate, Lahore.

Pada akhir 1958, beliau memasuki Universiti al-Azhar dan mendapat ijazah Aliyah dalam bidang bahasa dan kesusasteraan Arab pada 1960. Akhirnya beliau menamatkan pengajian dengan ijazah master dalam bidang perundangan Islam pada 1962.

Setelah pulang ke tanah air, beliau mengajar di Masjid Pulau Melaka dan mengasaskan Madrasah Darul Annuar. Beliau mula mengajar di Madrasah Tarbiyah Mardhiah pada 1962 hingga 1967, di samping mengajar Kelas Dewasa.

Mulai 1965, beliau mengajar di Maahad Muhammadi, Kota Bharu sehingga 1967. Beliau juga menjadi pendakwah bebas di masjid-masjid di sekitar Kota Bharu.

Dengan pengaruh beliau dalam bidang keagamaan, Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Ustaz Nik Abdullah Arshad yang juga Mudir Madrasah Tarbiyah Mardhiah telah mencalonkan Ustaz Nik Abdul Aziz sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil Kelantan Hilir, dan diterima oleh Badan Perhubungan PAS Kelantan pada 20 September 1967.

Keputusan ini dipersetujui oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 23 September 1967, di mana pada hari yang sama, Ustaz Nik Abdul Aziz telah menjadi ahli PAS. Pada 25 September 1967, beliau telah dinamakan sebagai calon PAS dan berjaya memenangi kerusi Parlimen Kelantan Hilir pada 21 Oktober 1967.

Jawatan parti yang pertama dipegang oleh beliau ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat yang dipegang oleh beliau mulai 19 April 1968.

MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
19 April 2016 – HARAKAHDAILY 19/4/2016

Share on Myspace