PAS Perak bersyukur keputusan mahkamah

HARAKAHDAILY | .

IPOH: PAS Perak bersyukur menerima keputusan Perbicaraan Kes Saman Fitnah Ustaz Norazli Musa, Presiden Geng Ustaz terhadap Ahmad Syihan Ismail di Mahkamah Seksyen Kota Bahru Kelantan hari ini 19 April 2016.

“Perkhabaran keputusan Perbicaraan Kes Saman Fitnah Ustaz Norazli Musa Presiden Geng Ustaz terhadap Ahmad Syihan Ismail di Mahkamah Seksyen Kota Bahru Kelantan hari ini menjadi bukti perancangan Allah mampu mengatasi segalanya,” demikian dinyatakan oleh Setiausaha Penerangan PAS Perak, Ustaz Zulhafeez Ahmad Zahidi.

Menurutnya, liku perjalanan seorang pejuang sentiasa disajikan dengan cabaran dan dugaan. Namun seandainya meletakkan keyakinan kepada Maha Pencipta atas segala percaturan pasti Allah menjanjikan satu keindahan.

“Tahniah diucapkan kepada Ustaz Norazli Musa, yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Ipoh Barat, usaha dakwahnya merentasi sempadan benua bukan sahaja menuntut pengorbanan jiwa bahkan segalanya.

“Janji Allah itu pasti kepada mereka yang berjuang ikhlas kerana Allah SWT demi melihat Islam bakal tertegak di atas muka bumi ini bahkan terpasak dalam jiwa setiap manusia,” ujar beliau lagi.

Menurut beliau lagi kekuatan pejuang Islam tidak kerana kelantangan suara semata-mata namun keyakinan kepada Allah SWT mengatur segala sesuatu serta berada di atas paksi perjuangan Islam memberikan satu momentum untuk terus istiqamah. – HARAKAHDAILY 19/4/2016

Share on Myspace