Misi ‘anak sulung’ PAS di Sarawak makin cerah

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Biar pun serangan duit menjadi senjata akhir Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerajaan Sarawak 7 Mei ini, namun peluang PAS untuk melahirkan ’anak sulung’ dianggap semakin cerah.

Faktor wakil rakyat BN, Raizali Gappur yang jarang kelihatan dan kemudahan asas tersisih membuatkan pengundi di Dun Beting Maro mulai membuat perkiraan baru.

Lagi pun calon PAS hanya tewas 391 undi kepada calon BN pada pilihan raya negeri (PRN) pada 2011.
Pada PRN Sarawak 2011 PAS bertanding di lima kerusi Dun iaitu Tanjong Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro.

Namun, pada PRN negeri kali ini PAS meletak calon di Dun Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut.

Yang Dipertua PAS Gua Musang Azman Ahmad berkata, sepanjang gerak kerja kempen ketika berada di Beting Maro sejak Jumaat lepas, sambutan penduduk begitu memberangsangkan.

Katanya, setiap program yang diadakan termasuk bersama anak-anak muda, ramai yang hadir tanpa mengira kaum dan agama.

“Ketika kita menganjurkan acara sukan ramai anak muda datang. Begitu juga kunjungan ke rumah penyokong PBB mereka menyambut dengan mesra,” katanya di sini.

Beliau bersama 26 petugas dari PAS Gua Musang baru kembali dari Sarawak petang semalam.

Bagaimanapun penganalisis politik Sarawak, Dr Jeniri Amir berkata berdasar keputusan PRN 2011, PAS tidak mendapat sokongan pengundi di bandar dan luar bandar.

Speaker Dun Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub juga yakin usaha PAS melahirkan anak sulung pada PRN kali ini bakal membuah kejayaan.

“Banyak isu tempatan dan nasional yang kini mendapat perhatian penduduk tempatan. Begitu juga ketika kempen di kawasan penempatan masyarakat Iban,” ujarnya.

Abdullah bersama petugas dari Jeli berada di Beting Maro minggu lepas. – HARAKAHDAILY 19/4/2016

Share on Myspace