Presiden PAS ke Palembang bawa misi keamanan serantau

. | .

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kini berada di Palembang dalam program lawatan kerja bertemu dengan pimpinan partai politik dan pimpinan masyarakat.

Lawatan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia juga bertujuan membawa misi keamanan serantau dan merapatkan hubungan ikatan persaudaraan Islam dalam satu rumpun bangsa Melayu.

Keamanan di rantau Asia Tenggara perlu dipertahankan melalui pengukuhan hubungan antara pimpinan partai politik bagi mengelakkan campur tangan kuasa asing.   

Asia Tenggara yang kaya dengan hasil bumi dan kedudukan geografi yang strategik menjadi cubaan kuasa besar asing untuk menguasai negara-negara ini dengan menimbulkan konflik dan perpecahan umat Islam.

Dalam lipatan sejarah yang lalu, semangat kebangsaan dan nasionalisme telah berjaya menjatuhkan Khilafah Uthmaniyyah, namun hari ini ditimbulkan isu-isu perbezaan pendekatan dakwah dan perbezaan mazhab, agama dan kaum sebagai alasan pihak musuh untuk campur tangan dan melakukan kekacauan dalam negara umat Islam.

Tujuan besarnya adalah menyelamatkan Israel dalam rangka membentuk peta baru Asia Barat dan akhirnya akan menjengah ke Asia Tenggara jika tidak ditangani dengan penuh hikmah dan bijaksana.   

Sepanjang lawatan ini, delegasi PAS yang diketuai oleh Tuan Guru Presiden telah bertemu dengan Sultan Mahmud Badarudin III Prabu Diradja, pimpinan Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Sumatera Selatan, pimpinan Nahdhatul Ulama (NU) Sumatera Selatan, pimpinan Muhammadiyyah Sumatera Selatan dan syarikat media cetak yang mempunyai sirkulasi terbesar di Sumatera Selatan iaitu Sumatera Ekspres.

Tuan Guru Abdul Hadi yang juga ahli Parlimen Marang berkongsi pandangan terhadap cabaran kebangkitan Islam yang berlaku dalam dunia Islam apabila wujudnya golongan tasahul (bermudah-mudah) dan golongan tasyaddud (keras dan melampau).

Golongan tasahul adalah golongan yang mengambil sikap bermudah-mudahan dengan Islam. Golongan ini sekadar mengaku orang Islam tanpa penghayatan ajaran yang sebenar.

Mereka meneruskan agenda barat dalam keadaan mendakwa kembali kepada Islam tetapi suara Islam diganggu gugat. Islam yang dibawa adalah Islam tanpa syariat dan Islam tanpa hukum, bahkan adanya agenda menubuhkan parti Islam sekular.

Mereka mengheret Islam dengan menggunakan nama Islam tetapi bersifat kendur dan longgar, tidak mahu bertembung dengan kesusahan dan kepayahan, tidak mahu menghadapi perjuangan yang getir dan memilih jalan yang mudah dan senang.

Golongan tasyadud adalah golongan melampau yang terlalu bersemangat untuk melaksanakan syariat dan bertindak tanpa memahami fiqh jihad. Mereka telah membawa fitnah kepada agama Islam dan tidak melaksanakan hikmah yang diajarkan oleh Al-Quran.

Delegasi ini turut dihadiri oleh Mohd Faiz Md Nawi (Setiausaha Lajnah Hubungan Antarabangsa), Mohd Adram Musa (Bendahari Lajnah Hubungan Antarabangsa), Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib (AJK Lajnah Hubungan Antarabangsa & Dewan Ulamak) dan Erwin Ridzwan (AJK Lajnah Hubungan Antarabangsa). - HARAKAHDAILY 19/4/2016

Share on Myspace