Asri, Tun Razak sepentas terang pembentukan BN

HARAKAHDAILY | .

Ceramah Perdana Dato' Mohd Asri Dan Tun Razak Di Temerloh Ke Arah Pembentukan BN (20 April 1974)

PADA hari ini dalam tahun 1974, Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda dan Presiden Umno, Tun Haji Abdul Razak Hussein telah mengadakan rapat umum bersama di Temerloh, Pahang untuk menjelaskan penyertaan PAS dalam BN.

Jabatan Penerangan Malaysia dalam satu laporannya pada 1974 menyatakan inilah perhimpunan ceramah politik terbesar yang pernah diadakan di negeri Pahang, di mana ia dihadiri oleh lebih 30,000 orang pendengar. Ceramah ini juga adalah ceramah politik yang pertama melibatkan kepemimpinan tertinggi kedua-dua parti semenjak Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Setelah PAS berjaya membentuk Kerajaan Campuran dengan Perikatan pada 1 Januari 1973, telah wujud cadangan supaya semua parti yang membentuk Kerajaan Campuran dengan Perikatan membentuk satu pakatan politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum 1974.

Pada 26 Januari 1974, PAS telah memutuskan supaya Jawatankuasa Politik dan Ekonomi PAS Pusat membuat kajian terperinci tentang Perlembagaan BN dan juga kemungkinan penyertaan PAS dalam BN, manakala Dewan Ulamak PAS Pusat pula membuat kajian hukum. Kedua-dua badan ini kemudiannya telah memberikan laporan positif tentang hal BN ini.

Pada 7 Mac 1974, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju untuk menyertai BN dengan beberapa pindaan terhadap Perlembagaan BN. PAS tidak mahu mengikat dirinya dalam BN dengan menjadikan pakatan ini sebagai satu 'gabungan,' bukannya 'pertubuhan.'

Kerana persetujuan ini, Dato' Mohd Asri telah menjelaskan kepada ahli-ahli PAS bahawa BN adalah sebuah konfederasi (gabungan) parti-parti politik, di mana PAS berdiri sendiri sebagai anggota gabungan, bukannya meleburkan diri dalam BN. Atas asas kebolehan PAS mempertahankan jatidiri inilah, Dewan Ulamak PAS Pusat mengharuskan penyertaan PAS dalam BN.

Perhimpunan raksasa pada 20 April 1974 ini diadakan bersama oleh PAS dan Umno, di mana pemimpin tertinggi kedua-dua parti telah menyampaikan ucapan sekali gus menyatakan tujuan pembentukan BN kepada rakyat, khususnya orang Melayu.

Selepas ceramah ini, satu ceramah serupa diadakan di kubu PAS, Kota Bharu pada 9 Mei 1974 yang dihadiri oleh lebih 80,000 orang pendengar. Hasil dari maklum balas positif rakyat terhadap kerjasama politik ini, pada 1 Jun 1974, penubuhan BN telah diumumkan secara rasmi yang turut melibatkan penyertaan PAS.

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS pada 13-15 Jun 1974, usul penyertaan PAS dalam BN ini telah diluluskan, sekali gus membolehkan PAS menyertai Pilihan Raya Umum 1974 atas tiket BN.

MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
20 April 2016 – HARAKAHDAILY 20/4/2016

Share on Myspace