Ambil peluang ketika Umno lemah – Nik Amar

ASLANI M | .

TUMPAT: Tiada masa hadapan dalam perjuangan bagi mereka yang kecewa sehingga mengambil tindakan nekad ‘terjun’ meninggalkan bahtera PAS.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah berkata mereka yang kecewa sehingga sanggup meninggalkan PAS dianggap sebagai lemah akidah.

“Kita kena sedar tiada masa hadapan perjuangan kecuali terus kekal dengan politik Islam.

“Lagi pun ramai pemimpin Umno pun kecewa dengan ketua mereka sekarang. Oleh itu kita kena pandai mengambil peluang,” katanya pada ceramah Gerakan Mempertahankan Kerajaan Kelantan (Pertahan) di Pekan Tumpat malam tadi.

Sehingga semalam tujuh siri ceramah Pertahan diadakan di seluruh Kelantan sejak dilancar Pemuda PAS Negeri awal bulan lepas.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata PAS sekarang menggunakan pendekatan lebih lunak terhadap Umno.

Katanya ketika mereka sudah lemah, PAS tidak perlu lagi menggunakan pendekatan seperti dahulu, sebaliknya menarik penyokong mereka bersama perjuangan Islam.

“Saya pun tidak faham ketika kita berusaha mendekati penyokong Umno ada pula pihak menuduh pemimpin PAS mahu bergabung dengan Umno.

“Tak kan pula kita hendak bergabung dengan parti yang sudah lemah, silap hari bulan kita juga akan jatuh sama,” katanya.

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata sebarang usaha parti baharu untuk bertanding di Kelantan dianggap sebagai memberi ruang percuma kepada Umno.

Katanya orang Melayu di negara ini sejak merdeka sehingga sekarang hanya ada dua pilihan sahaja iaitu PAS dan Umno.

Hadir sama pada ceramah itu Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan Ustaz Nor Azariza Md Alawi, Ketua Penerangan, Nazman Che Iberahim, Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim, Naib Yang Dipertua PAS Tumpat Wan Roslan Wan Hamat dan Pemangku Ketua Pemuda PAS Tumpat Mohd Hushaimi Hussain.

Ribuan hadir pada program berkenaan. Mereka memenuhi tapak stesen kereta sewa dan hadapan stesen bas SMMK Tumpat. – HARAKAHDAILY 20/4/2016

Share on Myspace