CAP ulangi haram antibiotik dalam makanan ternakan

S. M. MOHAMED IDRIS | .

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) ingin memberikan maklum balas kepada beberapa perkara yang dibangkitkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar  (DVS), Datuk Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam, dalam artikel tulisan Fazleena Aziz yang bertajuk ‘DVS monitors use of antibiotics in animal feeds’ bertarikh 17 Mac 2016.

Di dalam kenyataannya, Dr Quaza berkata, “Antibiotik pada dos yang rendah dicampurkan ke dalam makanan ternakan untuk mencegah jangkitan, membantu penghadaman dan penyerapan perut untuk menggalakkan pembesaran dan meningkatkan kualiti produk ternakan.”

Penggunaan antibiotik secara rutin seumpama inilah, iaitu untuk menggalakkan pembesaran dan mencegah jangkitan, yang membentuk kekebalan kuman terhadap antibiotik dan kemudian berpindah kepada manusia.

Ancaman kesihatan awam di seluruh dunia ini telah mendorong banyak negara termasuk Kesatuan Eropah (EU) untuk mengharamkan penggunaan antibiotik secara rutin dalam makanan ternakan. Antibiotik tidak sepatutnya disalahgunakan untuk mencegah penyakit dan menggalakkan pembesaran haiwan. Ia sepatutnya digunakan untuk mengurus dan merawat jangkitan.

Dr Quaza menambah, pihak DVS “sentiasa memantau dan mengawal penggunaan antibiotik dalam makanan ternakan sebagai sebahagian dari ‘sistem pemantauan kebangsaan.”

Kenyataan ini kurang meyakinkan. Setakat yang kami ketahui, tidak terdapat sebarang pemantauan secara rutin ke atas penggunaan antibiotik  dalam ubatan vetenari, tidak seperti pemantauan antibiotik yang digunakan dalam ubatan untuk manusia di hospital-hospital awam di Malaysia.

Sementara ubatan yang digunakan ke atas manusia dan haiwan didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Ubatan, makanan ternakan yang mengandungi ubatan dikecualikan daripada kewajipan mendaftar. CAP tertanya-tanya bagaimana dengan ketiadaan sebarang peraturan bagi kawalan antibiotik makanan ternakan, DVS mampu memantau dan mengawal penggunaannya.

Sejak bertahun-tahun, hasil pemantauan CAP mendapati antibiotik digunakan secara berleluasa dalam ladang ayam itik dan babi komersial dan penjualan antibiotik di kedai-kedai yang menjual makanan ternakan. Yang terbaharu ialah pada Januari 2016 di Kedah dan Perlis.

CAP mendapati antibiotik Erythromycin banyak dijual di kedai makanan ternakan. CAP dimaklumkan bahawa antibiotik itu disarankan supaya digunakan secara rutin dalam makanan ternakan untuk mencepatkan pembesaran ternakan.

Dr Quaza menambah, sejak 2010 ‘cuma 0.13 peratus dari lima daripada sejumlah 3,750 sampel makanan ternakan menunjukkan tanda positif antibiotik yang dibenarkan.’ Fakta bahawa sisa antibiotik ditemui dalam makanan kita amat membimbangkan kerana ia tidak sepatutnya ada dalam makanan tersebut.

Namun Dr Quaza telah mengetepikan masalah bakteria yang kebal kepada antibiotik  dalam daging yang kita makan dan dalam makanan ternakan yang menjadi tumpuan utama CAP.

Masalah kewujudan bakteria yang kebal kepada antibiotik dalam daging dan haiwan ternakan didedahkan dalam kajian awal yang dijalankan oleh DVS sendiri pada 2012. Ia menunjukkan:

1.Ternakan (ayam):  Sejumlah 38  sampel daripada pelbagai spesies Salmonella yang berbeza diambil dari ladang ayam untuk diuji ketahanan kepada antimikrob. Sampel-sampel ini didapatkan daripada ladang yang dikawal selia dan disahkan oleh SALT* di Malaysia.

Kajian itu mendapati 13.5%  bakteria Salmonella kebal kepada Tetracycline; 5.4% bakteria Salmonella kebal kepada Polymixin B dan Erythromycin; 2.7% bakteria Salmonella kebal kepada Chloramphenical, Penicillin G dan Trimethoprim.

*SALT (Skim Amalan Ladang Ternakan) diperkenalkan pada 2003 oleh DVS, untuk memastikan ladang ternakan mengamalkan Amalan Penternakan yang Baik (GAHP) dengan menghasilkan makanan yang selamat, tulen dan berkualiti, dalam persekitaran yang mapan dan mesra alam. Ia diberikan kepada ladang-ladang yang memenuhi kriteria GAHP, pengurusan kesihatan ternakan, jaminan bio, prasarana yang baik  dan penggunaan ubatan yang berhati-hati.

2.Sampel makanan: Sejumlah 43 spesies Salmonella yang berbeza diuji daripada sampel makanan seperti daging lembu, daging kambing dan daging ayam. Kira-kira 62.8%  Salmonella dikesan dalam produk import (44.2% daging lembu dan 18.6% daging ayam).

3.Lebih separuh daripada ayam tempatan yang diternak di ladang yang diluluskan oleh SALT  dalam kajian ini didapati kebal kepada antibiotik Ampicillin, Sulphonamide dan Tetracycline.

Keadaannya lebih buruk bagi daging ayam yang diimport. Kajian itu mendapati 87.5% bakteria kebal kepada Ampicillin; 75% kebal kepada Nalidixic Acid; sementara 50% bakteria kebal kepada Streptomycin dan Sulphonamide.

Jelaslah daripada kajian awal DVS, skim pensijilan SALT sememangnya bermasalah. Bukti menunjukkan ladang-ladang yang disahkan oleh SALT serba kekurangan dan tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Penemuan ini mempunyai kesan yang besar ke atas kesihatan awam. Antibiotik yang sepatutnya menjadi ubat bagi merawat pelbagai jangkitan yang menyerang manusia sudah menjadi tidak berkesan dan tidak lagi bermanfaat memandangkan makanan ternakan membiakkan bakteria yang kebal antibiotik.

Kajian DVS juga mendapati bakteria menjadi kebal kepada beberapa ubatan. Ada bukti yang menunjukkan kekebalan itu telah merebak hingga membabitkan beberapa kelas ubatan. Ini bermakna jika seseorang itu jatuh sakit, doktor tidak mempunyai banyak pilihan dari segi rawatan, ataupun terpaksa merawatnya dengan ubatan yang lebih mahal.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), terdapat sejumlah 97 ubatan berbeza yang didaftarkan untuk kegunaan di ladang ternakan ayam itik, lembu dan kambing. Sesetengah daripadanya tertakluk di bawah WHO’s Critical Important Antimicrobials Criteria. Ubat-ubatan ini dikenal pasti oleh WHO sebagai amat penting untuk kesihatan manusia dan kegunaannya dalam sektor veterinar perlu diperketatkan.

Malahan WHO tidak menyarankan lebih separuh daripada antibiotik yang berdaftar dengan MOH bagi haiwan dijadikan makanan untuk kegunaan veterinar. Ia termasuk Ampicillin, Amoxillin, Cefadroxil, Chlortetracycline, Oxytetracycline, Doxycycline, Sulfadiazine, Erythromycin, Spiramycin, Neomycin, Gentamicin dan Flumequine.

Berhubung ‘butter patties’ yang dicemari bakteria Listeria monocytogenes, Dr Quaza berpendapat pencemaran ini mungkin ada kaitannya dengan tanah dan air, bukan berpunca daripada haiwan ternakan. Hakikatnya CAP merujuk kepada masalah bakteria Listeria monocytogenes yang kebal kepada pelbagai ubatan dalam patties dingin-beku yang dibeli dari pasar raya dan kedai runcit.

Kenyataan CAP disokong oleh kajian yang dijalankan di Malaysia:

1.Penyelidik telah memeriksa kekebalan bakteria L.monocytogenes dalam daging lembu dan daging ayam mentah serta vegetarian patties kepada 11 antibiotik yang berbeza. Kajian mendapati 13 daripada 41 sampel bakteria tidak kebal kepada mana-mana antibiotik, sementara 28 didapati kebal kepada sekurang-kurangnya satu antibiotik dan 19 lagi kebal kepada sekurang-kurangnya dua antibiotik. Kekebalan kepada antibiotik tetracycline dan Erythromycin paling banyak ditemui.

2.Ayam hidup yang dijual di pasar Selangor diuji dan didapati mengandungi bakteria Campylobacter. Bakteria sering kebal kepada antibiotik Cephalothin, Tetracycline, Erythromycin, Enrofloxacon dan Gentamicin. Lebih satu pertiga daripada sampel bakteria didapati kebal kepada beberapa jenis ubatan.

Kajian di atas terkandung dalam Memorandum CAP-TWN berjudul ‘Antibiotic Use and Antibiotic Resistance in Food Animals in Malaysia: A Threat to Human and Animal Health’ bertarikh 10 Oktober 2013, yang dihantar kepada Kementerian Pertanian pada 28 November 2013.

Satu salinan memorandum itu telah diserahkan kepada Menteri Pertanian, YB Dato’ Seri Ismail Sabri bin Yaakob, ketika beliau mengunjungi CAP untuk melancarkan Projek Pertanian Bandar CAP pada 29 Jun 2015. Kami masih menunggu maklum balas daripada pihak Kementerian.   

Bertentangan dengan apa yang dikatakan oleh Dr Quarza, aktiviti manusia dan pertanian memberi kesan besar kepada tanah (dan air) kita dengan ubatan veterinar dan bakteria yang kebal antibiotik. Dalam kajian terkini (2014):

3.Sampel tanah pertanian dan baja yang diambil dari Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka didapati tercemar dengan antibiotik. Baja didapati mengandungi sekurang-kurangnya 6 jenis antibiotik pada paras yang tinggi, yang dikesan dalam setiap sampel tanah.
Ini menunjukkan antibiotik diberi kepada haiwan pada dos yang tinggi, dan tanah-tanah itu dicemari ubatan veterinar melalui najis haiwan.

4.Kajian pada 2007 menunjukkan kekebalan bakteria E. Coli kepada antibiotik dalam  ujian klinikal, marin, sungai, sumber makanan dan haiwan. Bakteria diperhatikan kebal kepada   pelbagai ubatan, dengan kekebalan yang tinggi membabitkan Tetracyclin, Kanamycin, Chloramphenicol, Gentamicin, Ampicillin – ubatan yang penting kepada kesihatan manusia dan haiwan, dan digunakan dalam makanan ternakan.

Alam sekitar kita semakin dicemari bukan sahaja dengan bakteria dalam ubatan, malah dalam pelbagai jenis ubatan, dengan menunjukkan kadar kekebalan yang tinggi terhadap ubatan yang digunakan untuk manusia dan haiwan, dan dalam  makanan ternakan.

Perkara ini membangkitkan persoalan mengenai keberkesanan penyeliaan veterinar (itu pun jika ada) terhadap penggunaan antibiotik di ladang ternakan dan cabaran yang dihadapi DVS dalam menangani masalah kekebalan bakteria terhadap antibiotik.

Pada November tahun lalu The Lancet melaporkan tentang kemunculan gen yang kebal kepada antibiotik Colistin yang sudah sedia dilepaskan antara bakteria biasa yang  dibawa oleh babi dan penduduk di China.

Ini bermakna kekebalan boleh dipindahkan antara bakteria dan menerusi spesies bakteria. Colistin (atau polymycin) kini merupakan ubatan pilihan terakhir untuk merawat jangkitan yang disebabkan oleh bakteria yang kebal kepada pelbagai ubatan seperti E. Coli. Namun gen itu sekarang menjadikan Colistin tidak lagi berkesan.

Antibiotik Colistin sering diberikan kepada haiwan ternakan untuk mencegah jangkitan dan menggalakkan pembesarannya.  Apa  yang menakutkan, gen ini (MCR-1) menghasilkan kuman kebal yang mampu menjadikan semua antibiotik yang ada pada masa sekarang tidak berkesan. Ancamannya kepada kesihatan awam di seluruh dunia amat besar.

Malah kini sudah ada bukti yang menunjukkan ia sudah merebak melampaui China kepada sekurang-kurangnya 12 negara dan Malaysia sendiri.

Dari apa yang dapat dilihat, tindakan pemantauan dan kawalan penggunaan antibiotik kebangsaan DVS ke atas ternakan ladang  dan produk berdaging banyak kekurangannya.

Sehubungan itu, CAP mengulangi gesaannya kepada Kerajaan Malaysia supaya mengharamkan penggunaan antibiotik dalam makanan ternakan berikutan ancaman dan kemungkinan bala bencana kepada kesihatan awam akibat kekebalan kepada antibiotik, baik di negara ini mahupun di seluruh dunia. – HARAKAHDAILY 20/4/2016
 
Penulis ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Share on Myspace