Jadi calon PAS ajar saya kenal penderitaan rakyat - Kiprawi

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Calon PAS N67 Jepak, Haji Kiprawi Aman meneruskan siri jelajahnya turun beramah mesra dan mendekati masyarakat tanpa mengira perbezaan latar belakang agama dan bangsa serta usia.

"Setelah pencen daripada berkhidmat sebagai pegawai kerajaan, tertanam di fikiran saya hanya mahu duduk beristirehat sahaja di rumah bersama anak-anak dan keluarga. Niat di hati hanya mahu menjadi penyokong sahaja," ujarnya dipetik laman rasmi PAS PRN Sarawak.

Katanya, setelah mengikut beberapa program yang dianjurkan oleh PAS bersama masyarakat, melihat sekeliling sambil memerhati keadaan semasa telah membuatkan beliau sedar betapa di luar sana masih ramai masyarakat yang amat memerlukan bantuan dan perhatian dari pihak luar.

"Semenjak saya diumumkan sebagai calon untuk bertanding di N67 Jepak, banyak perkara yang membuatkan saya semakin cakna berkaitan masyarakat setempat seperti yang menderita kesusahan akibat tekanan kos hidup yang tinggi dan terhimpit dengan ekonomi yang tidak stabil," tegas beliau.

Menurut beliau lagi, sepanjang mengadakan aktiviti ziarah beramah mesra mendekati masyarakat, tidak kurang ramai yang mengadu dan memohon jasa baik untuk memberi bantuan kepada mereka dari sudut persekolahan anak-anak, membaiki rumah yang agak kurang selesa, mengurangkan beban rawatan kesihatan yang dialami serta kemudahan asas yang baik kepada mereka.

Dengan apa yang telah dirasai dan dialami sendiri sepanjang ziarah beramah mesra bersama masyarakat setempat, Haji Kiprawi bertekad akan terus komited berkhidmat untuk rakyat untuk kesejahteraan dan keselesaan semua.

Share on Myspace