Calon PAS selami kehidupan penambang sampan

HARAKAHDAILY | .

DALAM kesibukan tugas harian, calon N07 Samariang Ustaz Yusof Ahmad Sharkawi sempat lagi menyantuni pakcik-pakcik penambang yang mencari rezeki dengan membawa penumpang dari Kampung Gersik ke pusat Bandar Kuching.

Kedudukan Dun Samariang adalah bertentangan dengan Bandar Kuching dan hanya terpisah dengan sungai.

Sungai inilah menjadi sumber rezeki kepada pemilik sampan ini walaupun terpaksa meredah hujan dan panas terik matahari.

"Sungguh besar pengorbanan mereka ini demi mencari nafkah harian untuk keluarga," ujar Ustaz Yusof dipetik laman rasmi PAS PRN Sarawak.

Katanya, mereka tidak jemu-jemu melaksanakan tugas harian itu di samping dapat membantu penduduk dari kampung Gersik berulang alik ke Bandar Kuching.

"Harga tambang murah sahaja iaitu 50 sen sehala walaupun kehidupan hari ini dibelenggu dengan GST," ujarnya.

Beliau memaklumkan penumpang sampan bukan sahaja terdiri dari orang kampung tetapi pelajar-pelajar sekolah yang bersekolah di Bandar Kuching antara penumpang setia sampan-sampan itu.

Inilah laluan yang terdekat yang menghubungkan Kampung Gersik ke Bandar Kuching.

Ketika kehadiran Ustaz Yusof ke pangkalan Kampung Gersik, pakcik-pakcik penambang ini sempat bertanya khabar dan beramah mesra dengan beliau.

Mereka menyambut baik hasrat Ustaz Yusof untuk bertanding di Dun Samariang kerana beliau dilihat sebagai seorang anak muda yang berilmu yang dapat membimbing masyarakat setempat dengan petunjuk agama Islam yang suci.

"Semoga Allah selamatkan perjalanan sampan-sampan yang tidak kenal jemu sentiasa berulang alik mudik ke hulu dan ke hilir sungai saban hari," kata Ustaz Yusof.

Share on Myspace