Berita di alam maya seperti umpan beracun

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Jika anda mahukan ganjaran pahala yang besar dan tingkatan darjat yang tinggi melalui sifat-sifat yang mulia, maka janganlah percaya kepada semua sebaran melalui media baru (FB, whatsapp, twitter dll) sama ada ianya sebuah cerita yang menarik atau maklumat yang mengkagumkan atau tazkirah yang mendamaikan atau nasihat yang mengesankan atau apa pun jenis berita yang disebarkan, jangan percaya semua itu sehinggalah anda sahkan sumbernya yang sebenar dan keaslian beritanya.

Berapa banyak kerosakan berlaku akibat fitnah media baru. Berapa banyak 'penyesalan tak berguna lagi' berlaku akibat percayakan berita palsu serta jahat dan berapa banyak tazkirah dan nasihat yang hanyalah berupa mainan nafsu buruk kerana pencetus dan penjajanya adalah syaitan yang direjam yang bertujuan memerangkap.

Islam mendidik kita supaya jangan mudah percayakan berita. Dengar dan ambillah yang terbaik iaitu yang ditapis berkali-kali. Tolak dulu terima kemudian, bukan terima dulu tolak kemudian. Jangan memberi respons sehinggalah kesahihan berita terjelma dahulu.

Apabila anda budayakan cara ini, anda akan dapat merasakan satu kekuatan dan benteng yang teguh terbina di dalam diri. Itulah sifat mulia yang ditakuti syaitan dan musuh iman. Itulah hadiah daripada Allah kepada anda. Anda memperolehi pahala setiap kali anda berkata 'tidak' pada semua berita dan anda terus beroleh pahala seterusnya setiap kali anda menukarnya kepada 'ya' apabila anda sahkan sumber dan beritanya.

Dalam sejarah kehadiran hadis-hadis palsu dalam ilmu thaqafah dan peradaban Islam, ia bermula dengan hadis-hadis nasihat dan tazkirah yang baik. Setelah ia bertapak dalam masyarakat, syaitan memulakan serangan dengan riwayat-riwayat bohong dan fitnah. Ketahuilah, berita-berita di alam maya adalah seperti umpan beracun yang ditabur di mana-mana. Jangan kita menjadi mangsanya.

BarakaLlahu lakum fi hayatikum... - HARAKAHDAILY 21/4/2016

Share on Myspace