Dr Zakir Naik cadang, kenapa PAS pula dituduh?

HARAKAHDAILY | .

Dr Zakir Naik punya kenyataan, tiba-tiba PAS pula dituduh oleh musuh PAS kononya hendak bersatu dengan Umno. Nampak sangat sudah tidak ada idea untuk memburukkan PAS.

Beberapa percubaan untuk melemahkan PAS tidak menjadi. Rakyat semakin yakin dengan PAS. Setiap bulan tidak kurang 2,000 orang ahli baru menyertai PAS.

Terbaru PAS menubuhkan Jabatan Kesihatan PAS yang terdiri daripada 800 orang doktor, 200 daripadanya doktor pakar dalam berbagai bidang.

Akhirnya senjata yang paling mudah, PAS dikaitkan dengan Umno. Supaya orang menjauhkan diri dengan PAS, terutama orang bukan Islam. Tersebar cerita dalam masyarakat Cina terutamanya, PAS dapat wang RM2.6 bilion, PAS tidak menentang isu 1MDB, PAS sokong GST. Pada hal PAS lantang menentang GST, TPPA, RM2.6 bilion, DLP sehingga mengadakan demontrasi.

Isu TPPA, Lim Guan Eng memuji Datuk Seri Mustapa Mohamed kerana menguasai isu TPPA. Cuba kalau pemimpin PAS yang memuji begitu, gegak gempita dunia ini dengan tuduhan UG dan Umno sebagainya. Hendak buat macam mana, kalau dah benci, semua yang PAS buat tidak kena belaka. Sehingga pakai baju sedondon dituduh konon bersama Umno. Tuan Guru Abdul Hadi Awang dituduh penasihat bertaraf menteri. Kesian, sudah hilang nilai intelektual dan maruah diri.

Apa cerita dengan  program Selamatkan Malaysia. Bukankah  untuk memberi nafas pada Umno? Tidak ada lagi pemimpin PAS naik sepentas dengan pemimpin Umno untuk agenda peribadi dan masalah peribadi.

Matlamat PAS jelas, ialah PAS ganti Umno. Ahli Umno mesti keluar Umno bersama PAS. Cukuplah selama ini Umno gagal menjaga maruah agama dan bangsa. Siapa pun memimpin Umno, itulah hasilnya. Acuan bahulu tak akan keluar kuih semperit.

Perjuangan PAS, bukan Zahid ganti Najib. Program Selamatkan Malaysia, matlamatnya apa pula? Yang hendak buat reform pula sejarah buruknya terpahat di dalam sejarah tanah air. Apa terjadi pada sistem kehakiman, ekonomi, dasar bumiputera, dasar pertanian. Semuanya rakyat tidak boleh lupa.

Terpulanglah kepada mereka hendak beri nafas pada Umno. Kami tetap dengan pendirian kami. Jangan hendak tutup kelemahan kamu hendak tuduh PAS pula hendak sertai Umno.

Sudah 8 tahun, UG menjadi ratib golongan ini. Namun PAS tetap melangkah gagah. PAS belum naik pentas politik bersama pemimpin Umno untuk beri nafas kepada Umno.

Hujah yang  lucu pula supaya  menghalalkan mereka naik pentas bersama pemimpin Umno sama seperti Almarhum Ustaz Fadzil Noor dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998. Ini satu analogi yang silap.

Almarhum bersama Anwar apabila beliau dipecat dan dibuang daripada Umno. Bukan hendak bagi nafas kepada Umno. Kemudian tertubuhnya PKR. Sedangkan Gerakan Selamatkan Malaysia untuk hidupkan Umno. Apa pun mereka hendak beri alasan, itu hanya sendiwara sahaja. PAS tetap PAS.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS/Ahli Parlimen Bukit Gantang
13 Rejab 1437/21 April 2016 - HARAKAHDAILY 21/4/2016

Share on Myspace