Bersatu hanya dengan 'tali Allah'

HARAKAHDAILY | .

Seruan ke arah penyatuan ummah adalah seruan Al-Quranil Karim. Umat Islam dari manapun sudut bumi ia berada dan apa pun bangsa yang ia wakili, mestilah bersatu atas manhaj Islam demi kekuatan  dan kemuliaan umat Islam.

Namun Al Quran telah pun menetap dan memuktamadkan bahawa penyatuan itu mestilah ditambat dengan "Tali Allah" iaitu Al Quranil Karim dan sebahagian ulamak menafsirkannya sebagai Al Islam itu sendiri.

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ
فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah belah dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan lalu Allah menyatukan di antara hati kamu maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara sedang kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Surah Aali Imran: 103)

Seruan pendakwah terkenal Dr Zakir Naik supaya ummat Islam termasuk PAS dan Umno dengan menjadikan Al Quranil Karim sebagai asas penyatuan adalah satu pandangan yang menepati seruan Islam itu sendiri.

Inilah juga apa yang telah diseru oleh PAS selama ini bahawa semua umat Islam mesti kembali kepada Al Quranil Karim dan Sunnah an Nabawi. Umat Islam hanya boleh bersatu atas Manhaj Islam yang betul. Tidak boleh bersatu atas nama bangsa, warna kukit, wang ringgit, kuasa dan pengaruh politik.

Tiada gabungan

Memahami realiti yang berlaku di Malaysia termasuk kedudukan Umno hari ini, Majlis Syura Ulamak PAS telah memutus dengan tegas bahawa tiada gabungan antara dua parti ini iaitu PAS dan Umno.

Saya melihat penegasan Majlis Syura Ulamak PAS tersebut adalah berasaskan nilaian semasa kedudukan Umno sebagai sebuah parti yang menjadi kerajaan sekian lama tetapi masih bersalut dengan keruntuhan integriti seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya serta dasar perjuangannya yang tidak meletakkan Islam dan syariat sebagai manhaj hidup dan orientasi pemerintahan.

Namun begitu, demi kebaikan Islam dan seluruh rakyat di bumi Malaysia ini, pula membudayakan Politik Matang dan Sejahtera, PAS tetap berlapang dada untuk sedia bekerjasama dengan semua pihak, dalam apa jua situasi yang berasaskan kebajikan dan memulangkan kebaikan kepada negara dan rakyat serta taqwa kepada Allah swt dan sama sekali menolak kerjasama yang menumbuhkan dosa, maksiat dan mungkar serta  mencetuskan permusuhan. Sebagaimana yang diajar oleh Allah swt:

 وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Dan hendaklah kamu berkerjasama untuk melakukan kebajikan dan taqwa kepada Allah swt dan janganlah kamu berkerjasama pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). (Surah Al Maidah: ayat 2)

Inilah seruan Nabi Muhammad SAW kepada semua pihak disepanjang zaman termasuk parti politik iaitu "Aslim Taslam" ertinya "Kamu terima dan kembali kepada Islam maka kamu akan selamat di dunia dan akhirat".

Kenyataan rasmi PAS juga telah dikeluarkan oleh Datuk Setiausaha Agung PAS bagi memuktamadkan pendirian PAS dalam isu "kesatuan" yang sering timbul di sepanjang zaman.

Semua kepimpinan PAS dan ahlinya konsisten dengan pendirian ini dan ia adalah kebaikan buat semua iaitu agama, rakyat dan negara. Semoga kedudukan PAS dalam situasi ini tidak disalah erti dan dispin oleh mana mana pihak yang senantiasa menyimpan dendamnya kepada PAS. PAS berlepas diri dari apa jua bentuk salah faham dan percubaan untuk mengeksploitasi isu ini.

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
13 Rejab 1437/21 April 2016 - HARAKAHDAILY 21/4/2016

Share on Myspace