Nik Amar laksana tugas Menteri Besar

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Selepas seminggu menjalani rawatan di hospital, hari ini Menteri Besar Kelantan diberi kebenaran doktor pakar untuk pulang berehat di rumah.

“Sepanjang tempoh saya diberi cuti Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah akan melaksanakan tugas-tugas Menteri Besar dengan dibantu Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Oleh itu saya berharap seluruh pegawai dan kakitangan awam hendaklah pro-aktif dalam memenuhi khidmat kepada rakyat secara jujur, amanah dan penuh integriti,” kata Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Katanya, ia seiring dengan dasar Merakyatkan Membangun Bersama Islam, kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya juga dalam keadaan cuaca yang panas sekarang sama-samalah kita bermunajat dan berdoa pada pagi esok.

Beliau berkata, kita hendaklah sama-sama memohon rahmat dan kasih sayang Allah dalam solat istisqa' yang diadakan di Padang Hoki bermula jam 4.30 pagi esok.

“Semoga dengan pengabdian yang jitu kepada Allah, hujan barakah akan turun dengan mencurah-curah di negeri ini.

“Saya turut mengambil kesempatan merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus berdoa untuk kesejahteraan dan kesihatan saya secara berpanjangan,” tambahnya. - HARAKAHDAILY 21/4/2016

Share on Myspace