PAS sokong hapus monopoli dalam industri padi, beras

HARAKAHDAILY | .

PAS menyatakan sokongan terhadap usaha bagi menghapuskan monopoli terutamanya dalam memastikan pengedaran beras dilakukan secara lebih terbuka di samping memastikan persaingan yang lebih sihat dalam pengurusan padi dan beras negara.

Ini berikutan terdapat cadangan supaya pergerakan koperasi turut diberi peluang untuk menjadi medan penyaluran dan pengedaran beras negara selain dari Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Ketika ini, Bernas adalah satu-satunya pihak yang bertanggungjawab sebagai sebuah badan yang mengawal rantaian pembekalan, infrastruktur, pengedaran termasuk kawalan terhadap harga padi dan beras negara.

Bernas mengambil alih peranan yang dimainkan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) yang telah diswastakan pada 1996.

Walau bagaimanapun, Bernas dilihat lebih cenderung menguruskan perniagaan padi dan beras berorientasikan keuntungan semata-mata berbanding membela dan melindungi kepentingan petani dan pengguna terutamanya sejak penyenaraian Bernas dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pada 1997.

Ini dilihat kepada pelbagai masalah dibangkitkan petani dan pengusaha beras tempatan sejak sekian lama dan tidak mendapat perhatian yang serius daripada pihak berwajib.

Ia bukan sahaja berkait dengan masalah pengurusan bekalan padi yang telah menyebabkan lambakan padi tempatan, malah masalah infrastuktur seperti sistem saliran dan pengairan yang tidak sistematik, masalah kos input pengeluaran yang meningkat juga telah merencatkan akvititi penanaman dan sebagainya.

Maka, langkah menghapuskan monopoli adalah suatu perkara teras yang wajar mendapat perhatian kerajaan bagi menyelamatkan indusri padi dan beras negara sebelum ia menjadi semakin tenat.

PAS menggesa kerajaan agar segera memberikan perhatian yang serius dalam pelbagai isu dan cadangan yang diutarakan dan mengharapkan kemelut yang melanda industri ini dapat ditangani dengan bijaksana.

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 22/4/2016

Share on Myspace