PAS kemuka memorandum perjelas bahaya jus soli

HARAKAHDAILY | .

PAS KEMUKA MEMORANDUM PERJELAS BAHAYA JUS SOLI (22 APRIL 1956)

PADA hari ini dalam tahun 1956, PAS telah mengeluarkan satu Memorandum 18 Perkara yang bertajuk 'Maklumat Jus Soli' untuk memaklumkan kepada rakyat negara ini tentang bahaya dasar kerakyatan jus soli (kerakyatan berdasarkan tempat lahir) kepada masa depan politik negara.

PAS menzahirkan kebimbangan bahawa dasar jus soli bukan sahaja mewujudkan rakyat yang tidak setia kepada negara, tetapi juga akan menggugat ketuanan orang Melayu yang mungkin akan membawa kesan buruk kepada politik dan ekonomi negara pada masa hadapan.

Pada 22-23 Oktober 1955, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengkaji dasar kerakyatan jus soli ini setelah imigran diberikan hak mengundi secara jus soli dalam Pilihan Raya Umum 1955, dan memutuskan supaya PAS menghantar memorandum bantahan kepada Raja-raja Melayu dan Pesuruhjaya Tinggi British.

Ekoran ancaman ini, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Keempat pada 26-28 Disember 1955 telah memutuskan supaya orang asing yang bukan rakyat Persekutuan diharamkan sama sekali terlibat dalam politik di negara ini.

Lebih membimbangkan PAS selepas Pilihan Raya Umum 1955, apabila 144 pertubuhan Cina di Perak telah menuntut supaya bahasa Mandarin dijadikan bahasa rasmi di Majlis Undangan Persekutuan, diikuti oleh tuntutan The Pan Malayan Federation of Chinese Association supaya ketuanan Melayu dihapuskan dan mendesak kerajaan menerima dasar kerakyatan jus soli.

Ini mendorong Jawatankuasa Politik PAS Pusat pada 14 April 1956 merangka bangkangan terhadap tuntutan orang Cina melalui satu Memorandum 18 Perkara. Memorandum ini telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS melalui telegram pada 15 April 1956.

Memorandum 'Maklumat Jus Soli' yang disiarkan kepada awam dan juga pihak berkuasa pada 22 April 1956 ini bertujuan supaya semua pihak "tahu dengan terang bahawa orang Melayu adalah bumiputera asal dan berdaulat di negeri ini" dan "orang bukan Melayu mempunyai peluang hidup, mendapat tempat dan hak di negeri ini." Antara lain memorandum ini mempertegaskan:

I. Orang bukan Melayu telah diberikan hak politik di negeri ini, hak yang tidak akan diperolehi di tempat lain, tetapi mengapa masih menuntut kerakyatan jus soli;
II. Tuntutan jus soli akan merosakan asas jaminan kesuburan dan kesihatan politik;
III. Jus soli boleh menimbulkan pengkhianatan kerana kerakyatan tanpa kesetiaan;
IV. Tuntutan jus soli berniat jahat kerana mahu menceroboh hak orang Melayu;
V. Jus soli akan menenggelamkan bangsa Melayu, mencabul hak orang Melayu dan akan menimbulkan persengketaan politik;
VI. Tuntutan jus soli akan menimbulkan kekecohan dan membantutkan kemerdekaan; dan
VII. Memadai jika dasar kerakyatan kekal mengikut Undang-undang Kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu (Pindaan) 1951.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
22 April 2016 - HARAKAHDAILY 22/4/2016

Share on Myspace