PRN Sarawak: DAP parti yang tiada setiakawan

MUHTAR SUHAILI | .

SEJARAH PENYERTAAN PAS DALAM PILIHANRAYA NEGERI SARAWAK - DAP PARTI YANG TIDAK SETIAKAWAN (SIRI 3)


KITA sentiasa optimis dan yakin bahawa Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mempunyai potensi besar untuk memainkan peranan penting di Malaysia bagi memastikan syar’iat Islam terus terbela melalui usaha-usaha proaktif yang perlu digembelengkan dan dipacu bersama.

Kita memilih untuk bersama PAS kerana Dasar PAS ialah ISLAM, Seruan PAS ialah ALLAHU AKBAR dan tujuannya ialah untuk memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah serta mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaannya.

PAS mula bertanding di dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak pada tahun 2001 iaitu PRN Kali Ke-8 yang diadakan pada 27 September 2001. PAS pada ketika itu berada di dalam Barisan Alternatif (BA) yang merupakan gabungan parti politik yang terdiri daripada parti-parti pembangkang utama di Malaysia.

Barisan Alternatif (BA) ditubuhkan pada 1999 dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Malaysia tahun 1999, Pilihan Raya Umum (PRU) Malaysia 2004 dan Pilihan Raya Umum (PRU) Malaysia 2008. Saat penubuhannya, ia terdiri daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Nasional (KeADILan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Parti Keadilan Nasional (KeADILan) kemudiannya telah bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menjelang Pilihanraya Negeri Sarawak Ke-8 pada tahun 2001, tepatnya pada 21 September 2001, DAP mengumumkan pengundurannya dari Barisan Alternatif (BA) dengan alasan PAS ingin melaksanakan Negara Islam.

Pada hakikatnya DAP melakukan perkara tersebut kerana merasakan PAS tidak menguntungkan mereka dalam PRN Sarawak pada ketika itu. Selepas itu tanpa DAP, Barisan Alternatif (BA) dengan keanggotaan PAS dan PKR meneruskan kerjasama dalam Pilihanraya Umum (PRU) Ke-11 dan 12 iaitu masing-masing pada pada tahun 2004 dan 2008 dan Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak Ke-9  tahun 2006.

Selepas Pilihan Raya Umum Malaysia Ke-12 pada tahun 2008 di mana pembangkang berjaya memenangi 52% undi popular dan 82 daripada 222 kerusi dalam Parlimen Malaysia (sekaligus berjaya menafikan majoriti dua per tiga kerusi yang dipegang Barisan Nasional (BN) sejak kemerdekaan negara), DAP kembali bergabung dengan kedua-dua buah parti komponen Barisan Alternatif (BA) iaitu PAS dan PKR lalu tertubuhlah Pakatan Rakyat (PR) yang menggantikan Barisan Alternatif (BA).

Pakatan Rakyat terus bersama pada Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak Ke-10  tahun 2011 dan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 pada tahun 2013. Momentum Pakatan Rakyat dikekalkan dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2013 apabila meningkatkan jumlah kerusi dari 82 ke 89 daripada 222 kerusi.

Pada tahun 2014 iaitu di kala terdapat ura-ura Pilihanraya Negeri Sarawak seakan-akan akan diadakan awal, sejarah 2001 berulang lagi! DAP Sarawak yang melihat PAS tidak menguntungkan mereka dalam PRN Sarawak, sekali lagi pada 18 Oktober 2014 telah menyatakan dan membuat satu keputusan songsang dengan menghentikan semua komunikasi dengan PAS dan PKR, tetapi terus berada dalam Pakatan Rakyat (PR).

Lima bulan selepas itu, iaitu pada 27 Mac 2015, DAP Sarawak (mendahului DAP Pusat) telah mengisytiharkan keluar dari Pakatan Rakyat (PR) sekaligus memutuskan hubungan dengan PAS dan PKR kerana memprotes PAS yang hendak melaksanakan Hudud di Kelantan (yang tiada kaitanpun dengan Sarawak).

Sebelum itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng telah mengumumkan satu lagi keputusan tidak logik akal apabila DAP Pusat memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, namun meneruskan hubungan dengan PAS.

Akhirnya dengan pelbagai tindakan-tindakan pelik yang dibuat oleh DAP, Muktamar PAS pada 5 Jun 2015 telah menerima usul Dewan Ulama PAS supaya Majlis Syura dan PAS Pusat memutuskan hubungan dan kerjasama politik dengan DAP tetapi kekal bersama PKR dan Pakatan Rakyat. Pada 16 Jun 2015, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengisytiharkan secara unilateral bahawa Pakatan Rakyat telah dibubarkan atas tiada kerjasama antara satu parti dengan satu parti yang lain.

Pada 11 Julai 2015, Majlis Syura Ulamak (MSU) memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan DAP terbatal namun kekal meneruskan hubungan sedia ada dengan PKR. Keputusan tersebut dibuat susulan tindakan provokasi DAP yang mengecam dan melanggar semangat kerjasama Pakatan Rakyat serta campur tangan dalam aqidah, dasar dan matlamat PAS.

Demikianlah sejarah mencatatkan betapa DAP adalah sebuah parti yang sangat tidak setiakawan dan hanya mementingkan diri khususnya dalam senario politik Sarawak. DAP sentiasa opportunis ialah berkawan bila menguntungkan mereka dan keluar sewenang-wenangnya dari Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR) apabila merasakan agenda mereka gagal dilaksanakan atau merasakan rakan kerjasama merugikan mreka.

DAP Sarawak semakin ego setelah menang 12 daripada 15 kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-10 pada tahun 2011 dan sebelumnya menang 6 daripada 12 kerusi yang ditandingi pada Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak Ke-9 pada tahun 2006 (meningkat dari 1 kerusi yang DAP menangi pada 2001).

Kini DAP bernafsu besar untuk meneruskan agenda mereka dengan bertanding di 30 kerusi (asalnya 29 dan menjadi 30 selepas SWP tidak jadi bertanding di Bukit Goram) dengan bertanding di 15 kerusi tambahan yang majoritinya adalah kerusi Dayak dan kebanyakannya ditandingi oleh PKR sebelum ini.

Sehingga tulisan ini ditulis PKR yang ingin bertanding sekurang-kurangnya 40 kerusi dan DAP masih gagal menyelesaikan beberapa pertindihan kerusi DUN menjelang Pilihanraya Negeri (PRN) Ke-11 yang akan datang. Untuk rekod, PKR menang 1 daripada 25 kerusi yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-9 pada tahun 2006 dan seterusnya menang 3 daripada 49 kerusi ditandingi pada pilihan raya negeri yang lepas iaitu pada tahun 2011.

Menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 yang bakal tiba, PAS Sarawak telah mengisytiharkan dan memutuskan akan bertanding di 11 Kerusi Dun iatu Pantai Damai, Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut.

Komitmen seluruh Pimpinan, Ahli dan Jentera PAS yang kini sedang giat turun padang ke seantero Sarawak bagi membantu persiapan Pilihan raya PAS adalah sangat memberansangkan. Sasaran realistik PAS untuk PRN kali ini ialah menghantar Adun Sulung PAS ke Dewan Undangan Negeri (Dun). Dengan kerja keras, kerjasama, doa, tawakal dan munajat semua, insya-Allah misi ini mampu kita realisasikan dengan izin Allah.

Buat akhirnya sebagai motivasi kepada ansorullah yang kini berada di medan, marilah kita hayati moto hidup Sahabat yang hebat ini. Beliau sentiasa membawa moto yang mana sepanjang hari Abu Ayyub al-Anshari ra sering mengulang-ulang suatu ungkapan yang diangkat menjadi moto kepada dirinya. Saya juga telah menjadikan kata-kata ini sebagai salah satu moto hidup dan ingin mengajak seluruh teman seperjuangan sekalian untuk sama-sama kita menilai dan mengaplikasikannya dalam kehidupan. Pasti ada kebaikannya dunia dan Akhirat, insya-Allah.

Inilah moto hidup beliau yang sangat tinggi nilainya: Infiru khifafan wa tsiqalan! …Berjuanglah kamu, sama ada senang mahupun susah… (Surah At-Taubah, ayat 41). – HARAKAHDAILY 22/4/2016

Penulis ialah Setiausaha PAS Negeri Sarawak

Share on Myspace