‘Generasi’ bakal lebarkan sayap ke Kedah

MUHAMMAD NURUDDIN BASHAH | .

ALOR SETAR: Sebuah NGO yang dikenali sebagai Pertubuhan Generasi warisan Kebangsaan atau singkatannya Generasi yang telah ditubuhkan di peringkat kebangsaan bakal melebarkan sayapnya ke negeri Kedah secara rasmi pada 1 Mei 2016 akan datang.

Generasi yang bertemakan “Memangkin Impian generasi”, bertujuan khusus untuk membela mustadhafin terutama kaum bumiputera, hal tanah rezab, tanah warisan, isu perumahan, Felda isu melibatkan kemiskinan yang rata-rata masih dideritai majoriti kaum bumiputera yang gagal dibela sebahagian badan kerajaan sendiri.

Di peringkat kebangsaan Generasi telah sedia berjuang isu perumahan generasi ke dua Felda. Bagi negeri Kedah yang sarat dengan isu tanah penoreh, tanah sawah, isu harga getah, pembalakan haram yang menghakis pertanian serta pelbagai isu melibatkan rakyat bawahan bakal diberi tumpuan melalui NGO ini kelak.

Bagi Negeri Kedah, NGO  Generasi akan diterajui oleh Ustaz Mohd Roshidi Bin Mohd Arof yang juga merupakan Exco Dewan pemuda PAS  Negeri Kedah merangkap Ketua Pemuda PAS Baling. Perasmian akan diadakan di Markaz PAS Sik bermula jam 8.30 malam dengan turut dihadiri oleh Pesuruh Jaya PAS Perak, Razman Zakaria, Pengerusi Generasi Kebangsaan, Ustaz Roslan Md Esa, serta Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor. – HARAKAHDAILY 22/4/2016

Share on Myspace