Pekebun kecil Pujut kesal janji BN belum ditunai

JOFRI JARAIEE | .

MIRI: Sudah hampir 11 tahun penduduk di Pujut Tanjung Batu menghadapi masalah untuk masuk ke dalam kebun mereka. Jalan ke kebun di Pujut Tanjung Batu dan Padang Kerbau rosak teruk dan sukar untuk kenderaan kecil masuk melalui jalan itu terutama waktu musim hujan.
 
Walaupun sekarang musim kemarau, jalan tersebut masih terdapat banyak lubang-lubang dan tidak rata sehingga menyukarkan pekebun membawa hasil petanian mereka keluar.
 
Menurut pengadu, mereka sudah banyak kali mengadu dan meminta bantuan daripada pihak berkuasa untuk membantu membaiki jalan raya yang rosak di jalan pintas menuju ke kampung Pujut Tanjung Batu dan Jalan Padang Kerbau itu tetapi ia masih belum menunjukkan hasil.
 
Mereka mengadu pada PAS yang mereka sudah hilang harapan untuk melihat jalan tersebut akan dibina dalam masa terdekat kerana sudah bosan dengan janji yang tidak ditepati.

Penduduk di situ memohon sedikit bantuan batu jalan kerikil untuk menampal jalan berlubang di jalan masuk di situ dari pihak PAS walaupun mereka tahu PAS bukan parti memerintah tetapi kesungguhan PAS membantu mereka tanpa mengira waktu memberi mereka sedikit harapan agar pihak berkuasa membuka mata dengan melihat masalah mereka dengan melaksanakan tugas seterusnya dengan menyiapkan projek jalan kampung yang terbiar begitu lama itu.
 
Menurut mereka kalau pihak berwajib dapat menurapkan jalan batu di kawasan itu pun sudah dikirakan bagus daripada terus menunggu janji yang tidak kunjung tiba.

Atas usaha penduduk kampung dengan kerjasama PAS akan memberi inspirasi kepada mereka untuk berdikari tanpa perlu mengharapkan janji dari mereka yang suka berjanji tapi tidak ditepati walaupun sebenarnya mereka mampu melaksanakan janji tersebut kalau mereka lebih memberi keutamaan kepada rakyat.
 
Pihak PAS telah menyumbang batu jalan kerikil untuk menampung lubang di jalan kebun itu sekurang-kurangnya mengurangkan masalah jalan berlobang itu.

Sekarang setelah penduduk mengadu masalah jalan kepada pihak PAS baru ada nampak jalan tersebut akan dibaik pulih itu disebabkan waktu pilihan raya akan menjelang tiba tidak lama lagi. Inilah untungnya rakyat bila ada suara pembangkang barulah BN bekerja keras untuk menarik perhatian rakyat.
 
Penduduk kampung mengucapkan terima kepada pihak PAS walaupun sumbangan tersebut tidak seberapa tetapi sekurang-kurangnya atas usaha bersama dengan penduduk kampung dengan PAS menyebabkan parti BN pun sibuk untuk meneruskan kerja membaik pulih jalan tersebut.

PAS bersama penduduk kampung sebagai jalan perintis untuk membaiki jalan tersebut dengan harapan tugas seterusnya perlu dilaksanakan oleh pihak berkuasa kerana kita yakin memang ada peruntukan untuk projek jalan kampung yang sudah lama diluluskan tetapi tertangguh mungkin disebabkan ada kepentingan pihak tertentu.
 
Kita mengesa pihak yang berwajib dapat melaksanakan tugas mereka dengan amanah dan tidak membiarkan pihak tertentu menyalahguna peruntukan untuk projek jalan kampung sebagai memancing undi semasa kempen nanti.
 
Usaha penduduk kampung menuntut hak mereka perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa dan ditunaikan dengan segera. Mereka juga menuntut agar kerajaan meluluskan pemohonan mereka untuk mendapat hak milik tanah mereka. Kerjasama dengan pihak yang berkenaan untuk mengatasi masalah jalan kebun yang sudah lama terbiar itu amat dihargai. – HARAKAHDAILY 22/4/2016

Share on Myspace