Doa Timbalan Mufti buat ribuan terharu

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Ribuan yang memenuhi padang hoki dekat sini hiba dan mengalir air mata ketika mengamin doa khutbah solat sunat Istisqa yang disampaikan Timbalan Mufti Kelantan.

Lebih 6,000 yang memenuhi padang tersebut bermula jam 4 pagi terharu apabila Datuk Nik Abdul Kadir Nik Muhamad berkata gejala sosial dan masalah masyarakat yang semakin parah mengundang kemurkaan Allah Taala.

Katanya, biar pun di Kelantan sudah ada peraturan berpandu acuan agama namun masih ramai yang melanggar.

“Ada pihak tidak mahu perundangan Islam dilaksanakan dan hanya memilih ayat-ayat al Quran yang sesuai dengan kehendak mereka sahaja sehingga menyebabkan Allah menurunkan bala.

“Kesan El Nino menyebabkan ada ikan yang diternak mati kerana kepanasan, rumput menjadi kering dan sekolah terpaksa ditutup.

“Ini bukan sekadar kesan El Nino sahaja, sebaliknya bala yang datang dari Allah,” katanya pada khutbah solat Istisqa di padang hoki dekat sini pagi tadi.

Program tersebut bermula dengan munajat perdana jam 4 pagi. Orang ramai memenuhi sebahagian padang tersebut yang terletak di hadapan Stadium Sultan Muhammad Ke IV.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, angota-anggota Exco, wakil rakyat, pegawai kerajaan negeri dan pemimpin masyarakat.

Program itu dianjurkan Yayasan Amanah Tok Kenali dengan kerjasama Dewan Ulama PAS Kelantan.

Ustaz Nik Abdul Kadir juga meminta orang Islam yang melakukan perbuatan bercanggah dengan peraturan agama menghentikan segera amalan tersebut bagi membolehkan rahmat Allah turun.

“Saya meminta orang yang melakukan dosa menghentikan segera perbuatan tersebut kerana ia menyekat rahmat hujan daripada Allah Taala.

“Hentikan segera maksiat, bayar hutang bagi yang berhutang dan berdamai bagi mereka yang bermusuh,” katanya.

Program itu berakhir jam 8.05 pagi. Orang ramai kemudian memenuhi pula Medan Ilmu di Jalan Dato’ Pati bagi mengikuti kuliah pagi Jumaat. - HARAKAHDAILY 22/4/2016

Share on Myspace