El-Nino: Selangor pastikan bekalan air cukup

HARAKAHDAILY | .

SHAH ALAM: Selari dengan komitmen kerajaan negeri dalam menangani impak perubahan iklim global, Selangor mengambil langkah proaktif untuk memastikan bekalan air sentiasa mencukupi ekoran pengurangan jumlah hujan yang ketara berbanding tahun sebelumnya akibat fenomena El-Nino.

“Bekalan air yang bersih dan mencukupi sentiasa mejadi keutamaan kerajaan negeri, namun kami turut mengharapkan kerjasama orang awam agar menggunakan air secara berjimat dalam musim kering ini,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sempena Hari Bumi hari ini.

Semalam, beliau mempengerusikan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) mengarahkan agensi kerajaan terbabit untuk mempertingkatkan usaha yang sedia ada agar bekalan air sentiasa mencukupi.

Antaranya, operasi pembenihan awan secara berkesan, operasi pengepaman air dari kolam takungan di sekitar Bestari Jaya, dan pemantauan berterusan di sepanjang sungai yang terlibat dalam pembekalan air mentah.

Berbanding dengan negeri lain yang sedang mengalami krisis air akibat musim kering, kedudukan paras empangan di seluruh Selangor setakat 20 April lalu adalah di atas daripada paras kritikal: Empangan Sungai Selangor 65.51%, Empangan Sungai Tinggi  75.76%, Empangan Sungai Semenyih 69.50%, Empangan Sungai Langat 73.27%, Empangan Batu 71%, Empangan Klang Gates 62.93 %, Empangan Tasik Subang  86.54%.

“Namun kami tidak seharusnya rasa selesa kerana fenomena El-Nino akan terus memberi kesan ke atas jumlah hujan dan bekalan air negeri.

Beliau berharap setiap lapisan masyarakat bersama-sama memainkan peranan sepanjang tempoh musim panas dan kering ini.

"Misalnya mengurangan penggunaan hos untuk membasuh kereta atau menyiram bunga, dan membangunkan sistem kitar semula air bagi kilang yang menggunakan kuantiti air yang besar,” ujarnya.

Beliau juga menyeru Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) meningkatkan kempen penggunaan air secara berjimat melalui media utama, serta mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan ke atas operasi tempat cuci kereta yang tidak berlesen dan pihak Air Selangor meningkatkan penguatkuasaan ke atas kes-kes kecurian air.

Share on Myspace