Calon sumbang kerusi roda ringankan beban

HARAKAHDAILY | .

SADONG JAYA: Calon PAS N24 Sadong Jaya, Cikgu Asan Singkro berkata, masih wujud mereka yang tidak mendapat bantuan dan pembelaan sewajarnya kerana ketirisan dan krisis urus tadbir dalam pentadbiran negeri.

Berdasarkan maklumat yang diterima, beliau dengan segera menemui keluarga kurang bernasib baik ini kebetulan ketika mengadakan siri ziarahnya menemui masyarakat setempat Sadong Jaya, seperti yang dilaporkan dalam laman web rasmi PAS PRN Sarawak.

Kehadirannya bersama jentera PAS disambut baik oleh keluarga terbabit.

Beliau amat terkilan dan sedih melihat nasib yang menimpa keluarga yersebut kerana hidup dalam kepayahan pada masa yang sama tiada sebarang bantuan dihulurkan daripada pihak berwajib.

Cikgu Asan Singkro juga berkelapangan meluangkan masa mendengar keluhan hidup dan masalah yang menimpa keluarga itu.

Beliau juga sempat berbual dengan Hampari iaitu salah seorang anak daripada 5 adik-beradik keluarga ini.

Sewaktu menemuinya buat pertama kali, Cikgu Asan Singkro segera memeluknya dengan erat dan jelas terpancar sinar kegembiraan pada wajah anak muda itu.

Hampari yang berumur 18 tahun hanya bersekolah sehingga ke tingkatan 2 kerana masalah kemiskinan, nasib sama turut menimpa adik-beradiknya yang lain.

Sehingga kini mereka keciciran daripada persekolahan lantaran masalah yang dihadapi.

Ayah Hampari bekerja jauh daripada rumah dan jarang untuk pulang ke rumah demi mencari sesuap nasi.

Ibunya yang berumur 47 tahun tidak mampu untuk berjalan kerana sakit separa lumpuh yang dialaminya bahkan tidak pernah mendapat sebarang bantuan khususnya kerusi roda untuk memudahkan pergerakannya.

Namun dengan usaha murni Cikgu Asan Singkro calon PAS N.24 Sadong Jaya mengarahkan rombongannya untuk ke Kuching bagi mendapatkan sebuah kerusi roda khusus untuk ibu Hampari.

Semoga dengan adanya kerusi roda yang baru ini, mudahlah untuk ibu Hampari bergerak ke sana ke mari.

Inilah tekad yang ditunjukkan oleh Cikgu Asan Singkro untuk menjaga kebajikan rakyat khususnya bagi kawasan Sadong Jaya, selari dengan gagasan yang dibawa PAS iaitu sebagai parti berkebajikan yang berperanan menjaga segala aspek kebajikan rakyat marhaen. – HARAKAHDAILY 22/4/2016

Share on Myspace