Tanah perkuburan bukan Islam diwarta sejak 1928

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat termasuk Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming menyokong pembatalan projek pelupusan mayat yang ingin dibangunkan syarikat swasta di Kajang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bangi, Mohd Shafie Ngah berkata keputusan itu dicapai menerusi sesi dialog berhubung isu berkenaan, baru-baru ini.

Beliau dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan dicapai turut mencadangkan projek membakar atau menyimpan mayat itu dibangunkan di kawasan lain yang lebih sesuai.

“Tapak yang dipilih sebelum ini berdekatan dengan sekolah agama, Surau Taman Jasmin, tadika dan tujuh perumahan yang saling berdekatan.

“Bagaimanapun, kami tidak menghalang sebarang protes awam terhadap isu ini asalkan berlandas lunas undang-undang," ujar beliau.

Selain Shafie dan Kian Ming, sesi dialog berkenaan turut disertai Senator T Chandra Mohan.

Sebelum ini, orang ramai membantah projek membangunkan tapak pembakaran mayat dan krematorium yang bersifat komersial di Kajang.

Berhubung isu penyalahgunaan tanah yang dibangkitkan, Shafie berkata, tanah berkenaan sudah diwartakan sebagai tanah perkuburan bukan Islam sejak 1928.

Menurutnya, banyak kubur ada di kawasan itu sebelum wujud taman perumahan.

"Jadi, tiada isu berkenaan hak dan salah guna tanah,” jelasnya yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor.

Share on Myspace