Kali ini beri pada PAS pula, kita buat perubahan

IZWAN ABDUL HALIM | .

MIRI: Terik matahari yang memanaskan tubuh sedikitpun tidak mengurangkan komitmen petugas PAS N.74 Dun Lambir menjalankan gerak kerja pilihan raya di Taman Tunku, di sini hari ini.

Malah, semangat petugas dari PAS Sabah dan PAS Kedah itu 'dibakar' dengan kehadiran Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali.

Bahkan, kesungguhan bertemu pengundi yang rata-rata dari kaum Tionghua di situ dijalankan penuh ceria bersama ukiran senyuman.

"Undi calon bulan, ya. Ini calon kawan saya, kita muda undi orang muda, kacak lagi dia. Kita buat perubahan kali ini," ujar Exco Pemuda PAS Malaysia, Syahir Sulaiman.

"Ya, undi calon kami dari PAS. Dia hensem sedikit dari saya," seloroh Tuan Ibrahim menyebabkan semua pihak tertawa.

Dari pertemuan mata dengan pengundi di situ ternyata mereka menunjukkan reaksi positif penerimaan terhadap calon diketengahkan PAS, Arifiriazul Paijo.

Di samping memperkenalkan profil calon, Setiausaha PAS Sarawak, Mukhtar Suhaili yang turut serta mengajak pengundi memberi peluang kepada PAS pada PRN kali ini.

"Kali ini beri pada PAS pula ya kakak abang, kita buat perubahan," santuninya pada setiap orang yang ditemui.

Share on Myspace