PAS desak Islam jadi undang-undang tertinggi negara

HARAKAHDAILY | .

PAS DESAK SUPAYA ISLAM DIJADIKAN UNDANG-UNDANG TERTINGGI NEGARA (25 APRIL 1973)

PADA hari ini dalam tahun 1973, Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Abdullah ar-Rawi telah mendesak Kerajaan Persekutuan supaya memartabatkan undang-undang Islam sebagai undang-undang tertinggi negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Setar Utara telah membuat desakan tersebut ketika membahaskan usul ucapan terima kasih kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Menegakkan syariat Islam adalah tujuan utama perjuangan PAS yang telah ditetapkan sejak penubuhannya lagi, dan dalam strategi politiknya pada 1972, ketika merancang mengadakan Kerajaan Campuran PAS-Perikatan, antara syarat yang ditetapkan oleh PAS untuk kerjasama ini ialah perlaksanaan syariat.

Pada 11 Ogos 1972, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju untuk menjadikan syarat "menerima syariat Islam sebagai sumber perundangan negara" sebagai asas perundingan.

Dalam perundingan pembentukan Kerajaan Campuran kali pertama pada 16 Ogos 1972, kedua-dua pihak telah bersetuju supaya "PAS akan dibenarkan menggubal undang-undang yang mengandungi nilai-nilai Islam bagi mengawal akhlak rakyat" dan "PAS akan dibenarkan mempergiatkan usaha-usaha dakwah di negara ini".

Pada 4 Disember 1972, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menggariskan enam dasar pembentukan Kerajaan Campuran, antaranya ialah tentang penerapan prinsip-prinsip Islam dalam pembangunan negara, memasukan unsur Islam dalam perundangan dan menghapuskan kebudayaan yang berlawanan dengan Islam.

Pada hari yang sama, dalam rundingan dengan Umno, mereka telah bersetuju supaya pembangunan rohaniah diseimbangkan dengan lahiriah dan memasukan nilai-nilai Islam dalam perundangan dan perlembagaan negara.

Atas asas inilah, pada 24 April 1973, Haji Yusof Rawa telah membuat desakan supaya undang-undang negara ini bersumber dari Islam sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

PAS juga mendesak supaya kerajaan bersungguh-sungguh untuk menjadikan Islam sebagai sumber perundangan negara.

Ahli Parlimen Kota Setar Selatan, Ustaz Mawardi Lebai Teh pada hari yang sama turut mendesak kerajaan supaya menjadikan undang-undang Islam sebagai undang-undang induk di negara ini menggantikan undang-undang British.

Berita PAS keluaran Mei-Jun 1973 telah melaporkan kesungguhan PAS membuat desakan di Dewan Rakyat menuju pelaksanaan syariat.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
24 April 2016 - HARAKAHDAILY 24/4/2016

Share on Myspace