Sudah 9 tahun menanti rumah PPRT

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sungguhpun kaya dengan hasil muka bumi, hakikatnya masih ramai rakyat Sarawak yang hidup terpinggir dari arus pembangunan dan kemajuan negeri.

Menyelami kehidupan sedemikian, calon PAS N.72 Dun Lambir, Arifiriazul Paijo dan jentera PAS Dun Lambir prihatin menjengah nasib penduduk.

Memetik laporan laman web PAS PRN Sarawak, antara yang diziarahi mereka adalah seorang tukang kayu yang hanya mahu dikenali dengan nama Yassin dan tinggal bersama keluarganya di Kampung Jakang, Bakam.

Dalam rumah kecil itulah, tujuh sekeluarga ini bersempit tanpa sumber bekalan air bersih dan hanya bergantung semata-mata kepada air sungai untuk tujuan minum dan mandi serta kegunaan harian.

PAS Dun Lambir dimaklumkan, keluarga ini pernah membuat permohonan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pada 14 September 2007.

Malangnya, sehingga hari ini permohonan mereka tidak mendapat kelulusan dan tindakan susulan pihak berkenaan.

Ternyata kecewa dengan situasi itu, Arifiriazul menggesa pihak berkenaan agar lebih prihatin terhadap nasib rakyat bumiputera yang terpinggir seperti Yassin.

“Tindakan segera perlulah diambil bagi memastikan nasib penduduk seperti ini dan semua rakyat mendapat hak yang sepatutnya sebagai warga tempatan,” luah beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Sarawak.

Share on Myspace