PAS simpati penduduk asal miskin di tanah air sendiri

JOFRI JARAIEE | .

Masalah penduduk asal yang tidak memiliki tanah sendiri dan terpaksa membina rumah di pinggir sungai Miri demi untuk meneruskan kehidupan yang semakin mencabar masakini. Kos hidup yang tinggi dan sukar untuk mendapatkan pekerjaan dan tiada tempat untuk bercucuk tanam menyebabkan ramai penduduk dari luar bandar terpaksa membina rumah di atas tanah kerajaan.
 
Nasib mereka yang tidak menentu ini menyebabkan mereka sentiasa tertekan akibat tidak mampu membeli rumah sendiri. Harga rumah yang terlampau tinggi dengan adanya cukai barang dan perkhidmatan (GST) juga antara sebab mereka rasa tertekan dengan keadaan kehidupan sekarang.
 
Keadaan kehidupan mereka yang tinggal di kawasan setinggan umpama mereka hidup menumpang di tanah air sendiri. Mereka sepatutnya sudah ada tempat yang baik dan diberi hak milik tanah untuk tempat tinggal tetapi akibat arus pembangunan yang tidak seimbang dan hanya mementingkan pihak tertentu menyebabkan nasib rakyat luar bandar terus terpinggir dari arus pembangunan.
 
Mereka tidak diberi kemudahan asas seperti elektrik dan air pun terpaksa berkongsi meter menyebabkan mereka hidup dalam keadaan susah. Mereka dianaktiri oleh pihak pemerintah Barisan Nasional kerana mereka ini umpama pendatang asing yang tidak ada hak untuk hidup seperti rakyat Malaysia yang lain.

Mereka merayu kepada pihak berkuasa agar mereka juga perlu diberi layanan yang sama untuk menikmati kemudahan asas seperti elektrik dan diberi tanah lot untuk mereka tinggal dengan selesa dan selamat.
 
Begitu juga dengan jambatan pejalan kaki yang dibuat dari kayu papan juga rosak dan tidak selamat untuk digunakan oleh penduduk. Keselamatan penduduk yang tinggal di tepi sungai perlu diberi perhatian terutama kanak-kanak kecil. Sungai Miri di Pujut juga tidak begitu selamat kerana terdapat buaya yang boleh mengancam keselamatan penduduk setinggan yang tinggal di tepi sungai.
 
Kita mencadangkan kepada pihak berkuasa agar dapat membina jambatan pejalan kaki ke rumah penduduk di situ dengan menggunakan jambatan konkrit dan selamat untuk kegunaan penduduk di situ.
 
Kita juga mengesa pihak berkuasa memberi hak milik atau lot tanah kepada penduduk asal yang terdiri dari berbagai kaum dan agama agar mereka dapat hidup aman dan selesa. Mereka mahu terus menetap di situ dan pihak kerajaan perlu mengiktiraf tempat tinggal mereka sebagai kampong.
 
Kita sentiasa menyuarakan masalah rakyat tanpa mengira waktu kerana selagi kerajaan tidak dapat memberi hak milik kepada penduduk asal, mereka akan terus ketinggalan dari arus pembangunan.
 
Sudah banyak kali masalah setinggan ini dikemukakan kepada pihak berkuasa tetapi hingga kini masalah ini masih belum dapat diselesaikan dan penduduk tempatan terus hidup dalam kemiskinan.

PAS sentiasa memberi bantuan kepada rakyat sekadar kemampuan yang ada kerana kita amat simpati akan nasib yang menimpa rakyat tempatan yang tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri dengan lebih selesa dan selamat.
 
Kerjasama dengan pihak berkuasa dan pihak yang berkenaan untuk mengatasi masalah rakyat tempatan yang tidak memiliki tanah sendiri perlu diberi perhatian. Kita amat menghargai sekiranya masalah ini dapat diselesaikan dengan segera demi masa depan penduduk asal yang terpinggir dari arus pembangunan. - HARAKAHDAILY 24/4/2016

Penulis ialah calon PAS N74 Pujut yang juga Pesuruhjaya PAS Sarawak.

Share on Myspace