Cadangan Dr Zakir: Syarat terima al-Quran, as-Sunnah

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

Tuan Guru Abdul Hadi menyampaikan plak penghargaan kepada wakil Pasak 4x4 Adventure Marang.

MARANG: Pendirian PAS jelas boleh menerima sesiapa sahaja yang mahu bersama Islam dengan syarat mengikut ajaran al-Quran dan as-Sunnah.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Adul Hadi Awang turut menjelaskan bukan sahaja Umno bahkan orang DAP sekalipun dengan syarat terima Islam.

Ini kerana, katanya pandangan Nabi Muhammad SAW sendiri boleh menerima sesiapa sahaja yang terima Islam.

“Itu bukan pandangan Tok Guru Nik Aziz, pandangan Nabi (Muhammad SAW) pun, orang terima Islam kita terima. Tapi kena terima Islam sungguhlah, jangan buat main-main, tak kira siapa pun kena terima Islam sungguhlah,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wakil media adakah PAS boleh menerima Umno jika parti itu mahu bersama dengan PAS yang dasarnya memperjuangkan Islam.

Kata Ustaz Abdul Hadi, PAS tidak ada halangan untuk bersama dengan mana-mana parti termasuk Umno dan DAP dengan syarat boleh menerima Islam, al-Quran dan as-Sunnah.

“Siapa pun tak kisah, Umno ke, walau DAP pun jika terima Islam. Siapa dia yang masuk Islam kita terima,” jelasnya selepas merasmikan Himpunan NGO’s Parlimen Marang 2016, di perkarangan Masjid Kampung Pasir Puteh, Merchang, dekat sini kelmarin.

Mengulas pandangan pendakwah tersohor, Dr Zakir Naik yang mencadangkan agar PAS dengan Umno bergabung, beliau mengulangi syaratnya mengikut al-Quran dan as-Sunnah.

“Dr Zakir sebut kena ikut al-Quran dan as-Sunnah. Tapi orang lupa syarat itu,” ujar Ahli Parlimen Marang itu.

Tambahnya, jika Umno bersedia untuk bersama dengan PAS, muzakarah perlu diadakan bagi mencari titik persamaan itu.

Sebelum itu, beliau merasmikan gabungan 10 badan bukan kerajaan (NGO) yang bergerak aktif di kawasan Marang di bawah satu nama Gabungan NGO Marang Terengganu (Gamit). - HARAKAHDAILY 24/4/2016

Share on Myspace